Gabungan dua nama besar muzik tempatan, Exists dan Masdo, telah mencetuskan ledakan emosi dan nostalgia kepada kira-kira 2000 penonton yang memenuhi Dewan Merdeka, WTCKL pada Ahad malam.
Konsert ‘Battle of Time Exists x Masdo’ anjuran Dennsa dan Sensorhythm dengan sokongan Kementerian Komunikasi serta Kumpulan My Creative Ventures berlangsung penuh meriah, menyorot pengaruh dan perkembangan muzik tempatan dari dua generasi berbeza.
Masdo, kugiran beraliran pop 60-an yang popular dengan gaya retro, membuka pentas dengan persembahan bertenaga melalui lagu pembuka mereka, “Bunga.”
Mereka meneruskan setlist dengan deretan lagu ikonik seperti “Miss Flower Learns to Twist,” “Janji Manis,” dan “Dinda,” yang membuatkan penonton terus terpaku.
Mereka mengakhiri persembahan dengan lagu penuh semangat, “Malam Pesta Rock & Roll” dan “Bercanda Di Malam Indah.”
Putu Ceri dari Masdo menyatakan kegembiraan mereka dapat berkongsi pentas bersama Exists, menyebut bahawa lagu-lagu Exists sentiasa menjadi siulan mereka sejak zaman remaja.
Selepas persembahan Masdo, Exists yang kini menandakan 33 tahun dalam industri muzik, tampil menghangatkan suasana dengan membawakan lagu-lagu klasik seperti “Seperti Dulu,” “Mama Tolonglah Percaya,” dan “Julia.”
Diterajui oleh Ezad bersama anggota asal Ujang, Musa, Along, dan Ajai, Exists turut menghadiahkan medley lagu “Pancut Ke Siling” dan “Oh! Benih Adam,” menghidupkan semula kenangan lama kepada peminat setia mereka.
Set mereka diteruskan dengan rangkaian lagu malar segar seperti “Langkah Seiringan,” “Bunga,” dan “Mengintai Dari Tirai Kamar.”
Penampilan Exists dan Masdo di bawah tema ‘Battle of Time’ bukan sahaja menghiburkan tetapi turut menjadi wadah untuk menghayati kepelbagaian muzik tempatan dari era 80-an hingga ke generasi baru.
Gubahan muzik yang diolah dengan susunan baharu menyuntik elemen segar dalam persembahan tanpa menghilangkan keaslian karya asal.
Sebagai penutup yang penuh bermakna, Exists dan Masdo tampil bersama membawakan tiga lagu istimewa, “Pujaanku,” “Kapal Terbang Kertas,” dan “Muda Mudi,” mengakhiri malam dengan sorakan dan tepukan gemuruh.