Evita Mairesse Buka Butik Couture, Tawar Pengalaman Premium di Heritage House KL
- oleh MDaily Editor
- 1 Dec 2025 1:41 pm
Pereka fesyen terkemuka kelahiran Indonesia, Evita Mairesse, terus mengukuhkan namanya dalam industri fesyen serantau apabila mengumumkan pembukaan butik persendirian pertamanya di Heritage House, Kuala Lumpur, Sabtu lalu.
Butik eksklusif yang beroperasi melalui janji temu ini, menandakan pencapaian penting dalam perjalanan lima tahun Evita Mairesse membina jenama yang kini dikenali sebagai ‘Dressmaker to the Beauty Queens’.
Evita Mairesse, yang terkenal dengan rekaan busana pentas yang anggun dan glamor, memilih konsep operasi melalui janji temu untuk memastikan setiap pelanggan menerima layanan premium dan konsultasi yang mendalam.

Butik baharu di Heritage House ini dirancang bukan sahaja sebagai pusat couture untuk tempahan gaun perkahwinan, gaun karpet merah, dan busana premium, tetapi juga sebagai ruang kreatif untuk pra-tonton eksklusif dan sesi penggayaan peribadi.
“Pembukaan butik ini adalah detik istimewa bagi saya. Saya mahu ia menjadi ruang di mana wanita merasa dihargai, mendapat ilham dan di mana setiap rekaan menjadi sebahagian daripada kenangan berharga mereka,” jelas Evita dalam majlis pelancaran yang penuh classy itu.
Beliau menambah, langkah ini juga bertujuan untuk memperkukuh hubungan dengan pelanggan sambil mengembangkan jenamanya dengan cara yang lebih organik dan telus.
Majlis pelancaran butik Evita Mairesse diserikan dengan kehadiran ratu cantik, selebriti, dan pempengaruh, di mana ramai di antaranya menggayakan rekaan Evita Mairesse sendiri.
Antara yang hadir termasuk Eshwin Kaur (Miss Supranational Malaysia 2025), pelakon Natasya Mahyan, dan penyanyi Syada Amzah.
Hiasan dalaman majlis mengikut identiti signature Evita dengan palet hitam dan putih, diserikan dengan instalasi bunga yang mencerminkan motif floral berstruktur yang sering digunakan dalam rekaannya.
Di samping itu, butik tersebut turut mempamerkan beberapa busana pertandingan ratu cantik yang pernah digayakan di pentas antarabangsa, menonjolkan kehalusan perincian dan ketelitian seni jahitan Evita Mairesse.
Evita Mairesse dikenali kerana menggabungkan unsur keanggunan, keyakinan, dan budaya dalam rekaannya.
Karyanya telah digayakan oleh selebriti seperti Whulandary, Aishah Sinclair, Ruhainies, serta wakil Malaysia ke pertandingan antarabangsa termasuk Miss Universe, Miss World, dan Miss Grand.
Selain butik couture di Heritage House, Evita Mairesse turut memiliki satu lagi cawangan di Fahrenheit Bukit Bintang yang menampilkan koleksi ready-to-wear, termasuk busana tradisional di bawah label keduanya, Mirnasari.




