‘EVERYONE’S A STAR!’: 5SOS Pilih Unifi Arena KL 17 Nov Ini
- oleh MDaily Editor
- 29 Apr 2026 6:03 pm
Penantian selama sedekad peminat tegar kumpulan pop-rock antarabangsa, 5 Seconds of Summer (5SOS) akhirnya terjawab apabila kumpulan itu mengesahkan bakal mengadakan konsert di Malaysia pada 17 November depan.
Menerusi siri jelajah dunia yang diberi judul EVERYONE’S A STAR! 2026, kumpulan yang berasal dari Australia itu memilih Unifi Arena KL (dahulunya dikenali sebagai Axiata Arena) sebagai lokasi persinggahan untuk bertemu peminat di rantau ini.
Dianjurkan oleh SAH Entertainment, konsert ini bukan sekadar persembahan biasa, malah menjadi simbolik kepulangan ikonik kumpulan tersebut selepas kali terakhir mengadakan persembahan di Kuala Lumpur kira-kira 10 tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif SAH Entertainment, Sufi Rashid berkata, membawa masuk 5SOS adalah satu usaha untuk memenuhi kehendak generasi muda yang membesar dengan karya-karya kumpulan tersebut.
“Kami melihat gelombang artis rock legenda era 90-an dan 2000-an kembali ke Malaysia dengan sambutan luar biasa. Dengan 5 Seconds of Summer, kami mahu membawa kumpulan yang dekat di hati peminat muda yang kini berada dalam fasa aktif menghadiri konsert.
“Ini adalah detik yang sudah lama dinantikan selepas 10 tahun dan kami tidak sabar melihat keluarga 5SOS berkumpul semula,” katanya dalam satu kenyataan.
Konsert kali ini bakal menampilkan kelainan apabila 5SOS membawa evolusi muzik baharu menerusi album studio keenam mereka yang juga bertajuk EVERYONE’S A STAR!.

Album tersebut menyaksikan keberanian kumpulan itu menyuntik elemen alt-rock dan future punk/pop yang mendapat inspirasi daripada artis ikonik seperti N.E.R.D dan Gorillaz, namun tetap mengekalkan identiti bertenaga mereka.
Selain kualiti vokal, penonton juga bakal disajikan dengan produksi visual imersif bertaraf antarabangsa yang direka khas untuk mengangkat pengalaman konsert ke tahap lebih tinggi.
Bagi yang tidak mahu terlepas peluang, jualan tiket Artist Presale akan dibuka pada 4 Mei 2026 bermula jam 12 tengah hari, manakala jualan untuk orang awam (General Sale) bermula pada keesokan harinya, 5 Mei 2026 pada waktu yang sama.
Peminat boleh mendapatkan tiket menerusi laman web rasmi di www.golive-asia.com.
