Ikuti Kami:

Evanescence Gegar Stadium Hoki Nasional 28 November Ini

Evanescence Gegar Stadium Hoki Nasional 28 November Ini

Penantian selama 14 tahun peminat muzik rock tanah air berakhir apabila kumpulan rock ikonik dunia, Evanescence, mengesahkan bakal menggegarkan ibu kota pada 28 November ini.

​Kuala Lumpur telah dipilih sebagai satu-satunya destinasi di rantau Asia Tenggara bagi siri jelajah dunia mereka, yang dijadualkan berlangsung di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil.

​Eksklusif Untuk Peminat Rantau Asia
​Penganjur konsert, Hello Universe, dalam satu kenyataan berkata pemilihan Kuala Lumpur sebagai lokasi tunggal di Asia Tenggara membuktikan Malaysia kekal sebagai destinasi utama acara hiburan antarabangsa berskala besar.

​”Kami sangat teruja dapat membawakan Evanescence kembali ke sini. Dengan produksi antarabangsa berskala penuh, peminat boleh menjangkakan visual pentas yang imersif serta vokal bertenaga Amy Lee yang cukup sinonim dengan identiti kumpulan ini,” kata wakil penganjur.

Kumpulan yang diterajui oleh vokalis berkarisma, Amy Lee, kali terakhir membuat persembahan di Malaysia pada tahun 2012.

Kepulangan mereka kali ini bukan sahaja membawa nostalgia lagu-lagu klasik seperti ‘Bring Me To Life’ dan ‘My Immortal’, malah bakal menjadi platform buat peminat di rantau ini mendengar karya terbaharu daripada album yang dijadualkan pelancarannya pada Jun 2026.

Memandangkan ini merupakan satu-satunya persembahan di Asia Tenggara, permintaan tiket dijangka melonjak tinggi bukan sahaja daripada peminat tempatan, malah dari negara jiran seperti Singapura, Indonesia, dan Thailand.

Tiket akan mula dijual pada 8 Mei 2026, jam 10:00 pagi (MYT) menerusi GoLive.

Maklumat lanjut mengenai kategori tiket dan harga akan diumumkan dalam masa terdekat.