Ikuti Kami:

EV Rider Malaysia 2025: Transformasi Industri Mobiliti Elektrik Tempatan

EV Rider Malaysia 2025: Transformasi Industri Mobiliti Elektrik Tempatan

Malaysia kini bersedia mengorak langkah besar dalam industri automotif dengan pelancaran EV Rider Malaysia 2025, sebuah inisiatif penting ke arah transformasi mobiliti hijau dan mampan.

Program ini, yang berlangsung di Saloma KLCC, dianjurkan oleh GGR Legacy (M) Sdn Bhd @ GGR Motor dengan kerjasama strategik Perniagaan Mazlan & Hashimah (PMH Motor) Sdn Bhd.

Menurut Pengarah Urusan GGR Motor, Muhammad Mussadiq Mohamed Azmi, pelancaran ini bukan sekadar memperkenalkan produk baharu, tetapi turut menjadi pemangkin revolusi industri automotif di Malaysia.

“EV Rider Malaysia bertujuan meletakkan Malaysia sebagai peneraju utama dalam revolusi mobiliti elektrik serantau,” katanya.

EV Rider Malaysia 2025 memberi tumpuan kepada penyelesaian mobiliti rendah karbon yang mampu dimiliki oleh pelbagai lapisan masyarakat.

Sasaran utama adalah golongan belia, penjawat awam, warga FELDA, serta komuniti bandar dan luar bandar.

Inisiatif ini juga menawarkan alternatif mobiliti yang mesra alam dan berdaya saing.

Selain itu, program ini adalah pelancaran motosikal elektrik baharu, Lion G1, yang merupakan hasil usaha anak tempatan.

Model ini ditawarkan pada harga mampu milik, iaitu RM3,999 sebelum rebat MARiiCas, menjadikannya salah satu motosikal EV paling murah di pasaran.

Dengan motor 3,000 watt, Lion G1 mampu menjangkau jarak perjalanan sehingga 120km dengan satu pengecasan penuh, menjadikannya pilihan ideal untuk pelajar, penghantar makanan, dan pengguna bandar.

GGR Motor turut menjalin kerjasama strategik bersama BATERIKU.COM untuk menyediakan perkhidmatan selepas jualan dan penyelenggaraan di seluruh negara.

Program ini juga menjadi pemangkin kepada penubuhan pusat latihan kemahiran TVET bersama PMH Motor, yang akan melahirkan tenaga mahir dalam bidang pemasangan, penyelenggaraan, dan jualan motosikal EV.

Dalam majlis yang sama, GGR Motor turut menyampaikan mock kunci sebagai simbolik penyerahan tajaan dua unit motosikal LionG1, model terbaharu di bawah rangkaian GGREV, sebagai hadiah kepada peminat Festival Aku, Muzik & Kamu (AMK) Indie 2025 yang dijadual berlangsung pada 26 dan 27 Julai ini di Litar Antarabangsa Sepang.

Wakil penganjur AMK, Encik Aiman selaku Pengarah Westzone Entertainment, meluahkan rasa penghargaan atas kesudian GGR Motor menaja dua unit motosikal untuk penonton AMK, yang diyakini bakal memberikan nilai tambah serta pengalaman lebih bermakna kepada mereka.

Aktiviti lain termasuk ujian pemanduan “test ride”, cabutan bertuah, dan persembahan komuniti, menjadikan acara ini lebih interaktif.

GGR Motor yakin bahawa EV Rider Malaysia 2025 akan menjadi penanda aras baharu dalam industri mobiliti elektrik di Asia Tenggara, memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai pemain utama dalam arena ini.

Inisiatif ini juga membuktikan bahawa produk tempatan mampu bersaing di peringkat global.

Komen
Loading...