Ikuti Kami:

Eskayvie Rai Ulang Tahun Ke-17, Jalin Kerjasama Strategik Bersama Tiga Institusi

Eskayvie Rai Ulang Tahun Ke-17, Jalin Kerjasama Strategik Bersama Tiga Institusi

Semenjak 17 tahun membina kepercayaan dalam industri kesihatan dan kesejahteraan, Eskayvie terus memperkukuhkan kedudukannya sebagai antara syarikat kesihatan tempatan paling progresif menerusi pemeteraian kerjasama strategik bersama tiga institusi terkemuka tanah air.

Kolaborasi bersama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Nutrition Society of Malaysia (NSM) itu dimeterai melalui memorandum persefahaman (MoU) sempena sambutan ulang tahun penubuhannya yang ke-17 bertemakan “17 Years of Excellence, Transforming Lives Together” di Shah Alam, hari ini.

Kerjasama menerusi Technical Working Group itu bertujuan melancarkan Modul B.R.A.I.N, sebuah kerangka Brain & Emotional Wellbeing Framework yang dibangunkan secara saintifik bagi menyokong fokus, kestabilan emosi dan kesejahteraan murid dalam mendepani cabaran gaya hidup moden.

Pengarah Urusan Eskayvie, Dr Kartika Wati Mohamed berkata, pembangunan generasi masa hadapan memerlukan pendekatan yang lebih menyeluruh dan kolaboratif melalui pendidikan, penyelidikan serta pembangunan ekosistem kesejahteraan yang holistik.

“Eskayvie percaya pembangunan negara bermula daripada pembangunan insan. Dalam dunia hari ini, anak-anak bukan sahaja berdepan tekanan akademik, tetapi juga cabaran emosi, digital dan gaya hidup yang semakin kompleks,” katanya semasa ditemui, di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Eskayvie merangkap Ketua Penyelidik & Inovasi, Dr Syid Ayob Syid Mustafa Al-Qudri berkata, pelaksanaan modul berkenaan dirancang untuk diperluaskan ke sekolah-sekolah di seluruh negara secara berperingkat dengan sasaran memberi manfaat kepada lebih sejuta murid.

“Anak-anak hari ini mengalami keletihan otak (brain fatigue), hilang fokus dan gangguan emosi akibat masa skrin (screen time) berlebihan, kurang tidur, tekanan gaya hidup dan nutrisi yang tidak seimbang.

“Apa yang mereka makan mempengaruhi bagaimana mereka berfikir, belajar dan mengawal emosi. Sebab itu kami percaya penyelesaian kepada cabaran ini memerlukan gabungan pendidikan, intervensi kesejahteraan dan sokongan nutrisi yang menyeluruh,” katanya.

Bersempena dengan sambutan ulang tahun itu juga, Eskayvie turut mengumumkan penubuhan Eskayvie Research & Innovation Centre yang bakal berfungsi sebagai pusat pembangunan strategik dan hab rujukan dalam bidang kajian klinikal, penyelidikan saintifik, pendidikan kesihatan awam serta inovasi teknologi kesihatan baharu.

Pusat penyelidikan tersebut akan memainkan peranan penting dalam memperkukuhkan kolaborasi bersama universiti, penyelidik, pakar kesihatan serta organisasi tempatan dan antarabangsa.

Bagi menandakan evolusi jenama itu ke peringkat antarabangsa, Eskayvie turut melancarkan kemasan baharu bagi produk suplemen imunisasi mereka, Eskayvie Diffenz dan Eskayvie Diffenz Junior, di samping memperkenalkan siri animasi kanak-kanak tempatan ‘Owi’ serta aplikasi digital Eskayvie Mobile Apps.

Majlis pelancaran yang berlangsung di Akademi Eskayvie itu turut dihadiri oleh barisan pengurusan tertinggi syarikat, rakan strategik industri, wakil institusi akademik, media, usahawan Eskayvie Nexus serta duta jenama berkenaan, Datuk Aznil Haji Nawawi.