Ikuti Kami:

Eskayvie Lebarkan Sayap ke Asia Tenggara, Perkasakan Kualiti Hidup Kanak-Kanak

Eskayvie Lebarkan Sayap ke Asia Tenggara, Perkasakan Kualiti Hidup Kanak-Kanak

Eskayvie, jenama kesihatan dan kesejahteraan halal tempatan terkemuka, kini mengalihkan fokusnya kepada inovasi berasaskan sains dan pengembangan serantau bagi memperkukuh kelebihan daya saingnya dalam sektor kesejahteraan yang kian pesat berkembang.

Pengasasnya, Dr Kartika Wati Mohamed berkata, syarikat itu sedang menyasarkan pengembangan pasaran merentasi negara utama di Asia Tenggara termasuk Indonesia, Thailand, Filipina, Vietnam, Kemboja, Singapura dan Brunei.

Menurut beliau, pemilihan pasaran tersebut dilakukan secara strategik berdasarkan potensi pertumbuhan kukuh dalam sektor kesihatan bagi meningkatkan kesedaran pengguna mengenai pencegahan penyakit serta pembinaan ekosistem keusahawanan mampan melalui platform Eskayvie Nexus.

“Indonesia kekal sebagai pasaran tumpuan utama disebabkan oleh populasinya yang besar dan penjajaran yang kukuh dengan penawaran produk serta model perniagaan kami,” katanya pada sidang media kerjasama Eskayvie bersama program Talk To My Manager (TTMM) Musim 2, di sini malam tadi.

Mengulas lanjut mengenai sasaran kewangan, Dr Kartika Wati menjelaskan bahawa dalam jangka pendek, Eskayvie menyasarkan pertumbuhan dua digit tahunan yang teguh dengan memperkukuh pasaran teras di Malaysia sambil mempercepatkan momentum di wilayah serantau.

“Matlamat jangka sederhana adalah untuk mencapai skala pendapatan ratusan juta ringgit yang disokong oleh jejak serantau yang lebih pelbagai. Akhirnya, matlamat kami bukan sekadar pengembangan pesat, tetapi pertumbuhan mampan dengan mengimbangi pecutan pendapatan dan disiplin kos yang kukuh,” tambahnya.

Sementara itu, Pakar Formulasi Produk Eskayvie, Dr Syid Ayob Syid Mustafa Al-Qudri menegaskan bahawa setiap pendekatan syarikat sentiasa bermula dengan sains dan keperluan sebenar tubuh manusia.

Beliau berkata, setiap formulasi dibangunkan bersama profesional bagi memastikan nutrien yang digunakan benar-benar relevan dalam menyokong perjalanan perkembangan harian kanak-kanak.

Sebagai tanda penghargaan kepada pelanggan, Eskayvie turut memperkenalkan kempen “Imbas & Menang” yang menawarkan ganjaran bernilai sehingga RM300,000. Hadiah utama yang ditawarkan ialah sebuah kenderaan elektrik (EV), Proton eMas 7.

Pemenang akan dipilih setiap minggu sepanjang 10 episod TTMM Musim 2 yang bakal bersiaran mulai 19 April ini pada jam 9.00 malam di Astro Ria.

Program itu bakal menampilkan barisan selebriti terkenal bersama anak-anak mereka termasuk Datuk Seri Vida dan Cik B, Datuk Fazley Yaakob dan Fariedz Fazley, serta ramai lagi bagi menekankan kepentingan sokongan keluarga dalam memupuk potensi kanak-kanak.

Loading...