Erysha Emyra Menang Artis Baharu Popular, Mahu Teroka Pelbagai Watak di Masa Depan
- oleh Mohd Indera
- 3 minggu lalu
Pelakon baharu, Erysha Emyra, berjaya merangkul trofi Artis Baharu Wanita Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) Ke-36.
Erysha, yang semakin dikenali dalam industri seni, meluahkan rasa syukur dan terima kasihnya kepada semua peminat yang memberikan sokongan tidak berbelah bahagi.
“Saya rasa sangat bersyukur dan berterima kasih kepada semua peminat yang telah mengundi. Saya sangat bersyukur dikelilingi dengan orang-orang yang sangat baik selama berada dalam industri ini,” ujarnya dengan penuh rendah hati selepas menerima trofi tersebut.
Erysha Emyra mengakui bahawa drama Aku Bukan Ustazah terbitan TV3 memainkan peranan penting dalam kejayaannya, dengan drama tersebut memberi impak besar kepada kariernya dan menjadikannya pilihan utama peminat.
“Drama Aku Bukan Ustazah sangat membantu untuk memenangi anugerah ini.
“Drama popular itu telah memberi impak besar kepada karier Erysha, menjadikannya pilihan utama di kalangan peminat,” katanya.
Erysha Emyra tidak menyangka akan memenangi anugerah tersebut, mengakui bahawa finalis lain dalam kategori itu juga berbakat dan terkenal.
Erysha turut menyatakan hasratnya untuk terus memperbaiki diri dan mencuba pelbagai watak dalam lakonan pada masa depan.
“Kejayaan ini akan mendorong saya untuk jadi lebih baik pada masa depan dan saya ingin cuba lebih banyak lagi watak di masa depan,” katanya.
Antara drama lakonan Erysha yang mencuri perhatian ramai termasuk Perempuan Itu, Chinta Wrong Direction, Aku Bukan Ustazah, dan Hero Seorang Cinderella 2, yang semakin memantapkan kedudukannya dalam industri hiburan tanah air.
Selain berjaya dalam dunia seni, Erysha yang kini berusia 25 tahun juga membuktikan dirinya sebagai seorang pelajar cemerlang apabila memperoleh keputusan 9A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun 2016.
Sebagai seorang pempengaruh, Erysha juga aktif di media sosial dengan hampir sejuta pengikut di TikTok dan Instagram (IG), yang terus menyokong perjalanan seninya.