Ernie Zakri Tampil Dengan “Dansa”, Ajak Pendengar Menari Hilangkan Resah
- oleh MDaily Editor
- 5 Nov 2025 1:37 pm
Penyanyi bersuara lunak dan penuh emosi, Ernie Zakri, kembali menceriakan industri muzik tanah air dengan single terbaharu berjudul “Dansa”, ciptaan bersama Ernie Zakri dan John Jeeves, yang turut bertindak sebagai penerbit lagu ini.
Menampilkan gabungan irama pop moden dan sentuhan funky, “Dansa” memperlihatkan sisi baharu Ernie yang lebih segar dan berani bereksperimen dalam muzik.
Lagu ini membawa mesej positif yang mengajak pendengar menari, melupakan resah dan meraikan kehidupan walaupun dilanda kesedihan.
Menurut Ernie, “Dansa” lahir daripada keinginannya untuk menyebarkan semangat positif kepada mereka yang sering dibelenggu tekanan hidup.
“Saya mahu menyampaikan emosi bahawa kita boleh ‘menari jauh’ daripada segala kerisauan. Kadangkala kita terlalu sibuk dengan tekanan hingga lupa untuk menikmati apa yang ada di depan mata,” katanya.

Dalam proses kreatif lagu ini, Ernie mengakui kerjasamanya bersama John Jeeves berjalan dengan sangat lancar dan penuh kefahaman.
“Bekerjasama dengan John sangat menyenangkan. Idea kami selari dan penulisan lirik berlaku dengan pantas kerana saya tahu hala tuju lagu ini sejak awal. Saya berharap ‘Dansa’ mampu membuat pendengar melupakan kesedihan dan kembali tersenyum,” tambahnya.
Walaupun mengekalkan elemen pop sebagai identiti muziknya, Ernie tampil lebih kontemporari dan funky dalam “Dansa”, menjadikan lagu ini antara karya paling segar dalam perjalanan seninya.
“Pendekatan kali ini lebih moden dan funky. Saya juga berhasrat untuk menyertakan lagu ini dalam album Sahabat supaya keseluruhan album tampil dengan variasi muzik yang lebih pelbagai dan menarik,” jelas Ernie.
Dengan vokal mantap, mesej positif dan susunan muzik yang energik, “Dansa” diyakini bakal menjadi antara karya penting dalam karier Ernie Zakri, memperkukuh kedudukannya sebagai penyanyi wanita versatil yang terus relevan.
“Dansa” kini boleh didengarkan di semua platform digital.




