Ikuti Kami:

Ernie Zakri, Syamel Warnai Malam Tahun Baharu di Le Méridien PJ

Ernie Zakri, Syamel Warnai Malam Tahun Baharu di Le Méridien PJ

Pasangan romantis popular, Ernie Zakri dan Syamel, berjaya mencipta sejarah peribadi apabila tampil dalam Konsert Nostalgia New Year’s Eve yang berlangsung penuh eksklusif di Hotel Le Méridien Petaling Jaya, malam kelmarin.

Dianjurkan dengan kerjasama Universal Music Malaysia, konsert tersebut menawarkan kelainan apabila diadakan di dalam ruang tertutup (indoor), sekali gus memberikan pengalaman sambutan ambang tahun baharu yang lebih santai, selesa dan teratur buat para peminat.

Bagi Syamel, penglibatan dalam konsert di ruang tertutup pada malam kemuncak tahun baharu merupakan satu pengalaman sulung yang sangat bermakna buat dirinya dan isteri.

“Ini merupakan satu kelainan buat kami apabila dimaklumkan oleh label bahawa acara sambutan akan diadakan secara tertutup. Pada awalnya, kami sendiri tidak mempunyai pengalaman mengadakan sambutan Tahun Baharu secara dalaman seperti ini.

“Namun, suasana yang tenang dan nyaman memberikan ‘vibe’ berbeza. Lazimnya, sambutan tahun baharu sinonim dengan hiruk-pikuk dan kesesakan, tetapi kali ini segalanya berjalan lancar dan teratur,” katanya ketika ditemui selepas persembahan.

Sementara itu, Ernie Zakri mengakui pada mulanya beliau berasa sedikit gusar untuk beraksi di dalam dewan (ballroom) memandangkan sambutan tahun baharu lazimnya diadakan di lokasi terbuka.

“Secara jujur, saya agak bimbang memikirkan bagaimana reaksi penonton kerana kami tidak pernah mengadakan acara sebegini di dalam dewan. Namun, sebaik sahaja Syamel mula menyanyi dan mendengar sorakan peminat, kegusaran itu hilang.

“’Feel’ yang kami peroleh sebenarnya tidak jauh beza dengan persembahan di luar. Malah, keselesaan penonton lebih terjamin,” ujar penyanyi lagu Masing-Masing itu.

Selain persembahan vokal mantap pasangan tersebut, suasana malam itu turut dimeriahkan dengan seleksi muzik nostalgia daripada DJ Fuzz yang menyuntik tenaga segar buat tetamu yang hadir.

Ernie turut menzahirkan rasa syukur dan terima kasih kepada pihak Le Méridien serta Universal Music Malaysia atas kepercayaan yang diberikan untuk mengendalikan konsert tersebut.

“Ini adalah projek yang benar-benar membahagiakan kami. Kami sangat bersyukur dapat meraikan detik peralihan tahun bersama peminat yang menyokong kami selama ini dalam suasana yang cukup istimewa,” tambahnya lagi.

Komen
Loading...