Ikuti Kami:

Ernie Zakri Kembali dengan “Nostalgia” – Lagu Cinta Berinspirasikan Retro

Ernie Zakri Kembali dengan “Nostalgia” – Lagu Cinta Berinspirasikan Retro

Penyanyi tersohor Ernie Zakri kembali dengan single terbarunya berjudul Nostalgia, sebuah karya yang mengangkat tema kebahagiaan dalam cinta dengan sentuhan muzik retro.

Dicipta sepenuhnya oleh komposer Allan Andersn, lagu bergenre Pop dan Citypop ini bukan sahaja membawakan mesej cinta yang bahagia, tetapi juga boleh didedikasikan kepada keluarga, sahabat, dan peminat tersayang.

“Lagu ini adalah tentang kebahagiaan dalam cinta, dan ia juga boleh ditujukan kepada sesiapa sahaja yang kita sayangi. Saya berharap pendengar dapat merasakan kehangatan dan kesyukuran dalam kebersamaan menerusi lagu ini,” kata Ernie.

Berkongsi mengenai proses rakaman, Ernie menyifatkannya sebagai pengalaman yang mengujakan meskipun jadualnya padat. Beliau bekerjasama dengan Allan Andersn dalam menghasilkan alunan vokal yang penuh harmoni.

“Allan sangat kreatif, dan kami bersama-sama mencipta pelbagai elemen vokal. Walaupun jadual sibuk, proses rakaman berjalan lancar,” tambahnya.

Keunikan Nostalgia terletak pada susunan muziknya yang mengingatkan kepada era kegemilangan Datuk Sheila Majid, tetapi dengan elemen moden yang memberikan sentuhan segar kepada lagu tersebut.

Single ini juga mencerminkan arah muzik baru yang ingin diterokai Ernie dalam projek-projek mendatang. Dengan kombinasi elemen retro dan moden, Nostalgia dijangka menarik perhatian peminat dan pencinta muzik tanah air.

Muzik video rasmi lagu ini akan dilancarkan di saluran YouTube Ernie Zakri pada 26 Februari 2025, manakala lagunya sudah boleh didengari di semua platform digital seperti Spotify, Apple Music, KKBOX, Deezer, dan YouTube Music sejak 21 Februari 2025.

Komen
Loading...