Ernie Zakri Dinobat Bintang Paling Popular, Raih Anugerah Tertinggi dengan 124 Juta Undian
- oleh MDaily Editor
- 13 Dec 2025 3:51 pm
Malam Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-37 (ABPBH 37) melakar sejarah manis apabila penyanyi bersuara emas, Ernie Zakri, dinobatkan sebagai penerima anugerah utama, Bintang Paling Popular.
Kejayaan berganda ini hadir selepas Ernie turut memenangi kategori Penyanyi Wanita Popular, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai artis paling berpengaruh pada tahun 2025.
Ernie meraih gelaran tertinggi itu dengan mengumpul jumlah undian yang luar biasa iaitu sebanyak 124 juta, satu angka yang membuktikan sokongan padu dan kasih sayang tidak berbelah bahagi daripada peminatnya yang dikenali sebagai ‘Ernienators’ dari Malaysia dan Indonesia.
Kemenangan ini disifatkan sebagai satu kejutan besar oleh Ernie sendiri, yang mengakui beliau langsung tidak menjangka namanya akan diumumkan untuk anugerah tertinggi itu.
“Alhamdulillah, perasaan sangat-sangat happy, sangat-sangat bersyukur sebenarnya, Saya bersyukur dengan kehadiran peminat-peminat yang mengundi dan yang sentiasa mendoakan kejayaan saya. Sebenarnya anugerah ini memang untuk peminat.” katanya.
Menurut Ernie, kejayaan ini adalah kemuncak usaha bersama selepas beberapa tahun dengan sokongan peminat.
“Saya rasa sangat-sangat happy kerana setelah beberapa tahun kita bersama-sama berusaha, Alhamdulillah, peminat saya dapat anugerah Penyanyi Wanita Popular serta anugerah Bintang Paling Popular,”
“Saya takkan dapat pengiktirafan ini kalau peminat-peminat saya tidak mengundi. Saya nak buat special shout out kepada Ernienators kerana sudi memberikan saya merasa anugerah ini.” tambahnya.
Pencapaian ini hadir sejajar dengan momentum kukuh kerjaya Ernie, terutamanya selepas kejayaan single popularnya, ‘Masing Masing’, yang berjaya meraih status 3x Platinum di Malaysia dan Indonesia.
Pengarah Urusan Universal Music Malaysia, Kim Lim, turut menzahirkan rasa bangga atas kejayaan Ernie.
“Kemenangan berganda ini adalah pengiktirafan sewajarnya atas dedikasi, bakat vokal luar biasa, serta hubungan erat beliau dengan peminat yang sentiasa menyokong,” kata Kim Lim.
Sebagai penutup tirai tahun yang cemerlang, Ernie Zakri dijadualkan menjayakan ‘Nostalgia NYE Concert’ di Le Meridien Petaling Jaya pada 31 Disember ini, dan turut memberi bayangan akan hadir dengan single Hari Raya baharu pada tahun hadapan.




