Ikuti Kami:

Ernie Zakri Cipta Sejarah: Tiket Konsert ‘Aura’ Habis Terjual Dalam Masa 7 Jam

Ernie Zakri Cipta Sejarah: Tiket Konsert ‘Aura’ Habis Terjual Dalam Masa 7 Jam

Tiket bagi konsert solo penyanyi terkenal, Ernie Zakri, bertajuk Aura: Ernie Zakri Live in Concert habis terjual dalam masa hanya tujuh jam selepas dibuka untuk jualan.

Kejayaan ini sekali lagi membuktikan kedudukan Ernie sebagai salah seorang artis paling diminati dan berbakat dalam industri muzik Malaysia.

Konsert yang dijadualkan berlangsung pada 25 Januari 2025 di Dewan Plenary, Kuala Lumpur Convention Centre, menjanjikan satu malam penuh magis di mana Ernie bakal menghiburkan para peminat dengan rangkaian lagu-lagu hitsnya yang akan diiringi persembahan vokal luar biasa.

Mengulas mengenai sokongan peminat, Ernie meluahkan rasa syukur dan terharu dengan sambutan hebat yang diterima.

“Alhamdulillah, saya sangat berterima kasih atas sokongan luar biasa daripada semua. Ini adalah impian saya untuk berkongsi muzik dan perjalanan kerjaya saya melalui konsert ini. Saya tak sabar untuk memberikan persembahan terbaik buat peminat-peminat yang sentiasa ada di sisi saya sepanjang perjalanan ini,” kata Ernie.

Ernie juga menambah bahawa setiap tiket yang terjual bukan sekadar angka, tetapi melambangkan kasih sayang dan kepercayaan peminat terhadap usaha dan dedikasinya.

“Setiap detik yang dilalui bersama mereka adalah kenangan yang tidak ternilai. Konsert ini bukan hanya mengenai muzik, tetapi juga pengalaman, kegembiraan, dan sambutan penuh emosi yang kita akan nikmati bersama,” katanya lagi.

Konsert Aura: Ernie Zakri Live in Concert ini akan menyaksikan Ernie membawakan pelbagai lagu hitsnya seperti Ku Bersuara, Gundah, dan Boneka, dengan susunan muzik yang eksklusif untuk malam tersebut.

Ernie berjanji untuk memberikan persembahan penuh emosi dan sokongan padu dari pemuzik profesional, menjadikan konsert ini satu pengalaman muzik yang tidak akan dilupakan oleh peminatnya.

Dengan kejayaan ini, Ernie Zakri terus membuktikan popularitinya sebagai salah seorang penyanyi yang paling dihormati dalam industri muzik tanah air, terkenal dengan kekuatan vokalnya dan persembahan yang memukau.

Hasil dari kejayaan konsert ini, Sufie Rashid, selaku penganjur melalui SAH Entertainment, mengumumkan konsert Ernie Zakri di Singapura pada bulan Jun tahun hadapan.

Komen
Loading...