Erma Fatima Nafi “Jangan Panggil Aku Gus” Berkaitan Kisah Pendakwah Selebriti
- oleh MDaily Editor
- 2 Mar 2026 10:41 pm
Pengarah dan penerbit berkaliber, Erma Fatima, tampil menepis spekulasi netizen yang mengaitkan drama terbaharu arahannya, Jangan Panggil Aku Gus, dengan kisah sebenar seorang pendakwah selebriti yang kini hangat diperkatakan.
Erma atau nama sebenarnya, Fatimah Rahmad Ali, 58, menegaskan karya terbitannya itu hanyalah sebuah naskhah fiksyen dan beliau langsung tidak mempunyai niat untuk mengangkat isu sensitif atau kisah peribadi individu tertentu sebagai plot utama.
Menurut Erma, dakwaan yang mengatakan drama tersebut diinspirasikan daripada kisah hidup individu terbabit adalah tidak berasas sama sekali.
“Mana ada! Tiada kena-mengena dengan dia pun. Apa yang berlaku kepada dia, saya sendiri tidak tahu kebenarannya. Jadi, saya tidak reti hendak buat benda-benda yang saya tidak tahu.
“Saya juga tidak mahu menyentuh isu orang yang kita tidak tahu kebenaran yang sebenar-benarnya. Itulah maksud saya, saya tidak menidakkan ataupun mengiyakan (dakwaan itu),” katanya.

Mengulas mengenai keputusannya kembali menjadi pengarah selepas hampir 10 tahun berehat, Erma menjelaskan ia berlaku secara kebetulan berikutan kekangan calon pengarah lain yang sepatutnya menggalas tanggungjawab tersebut.
“Sebenarnya, saya tidak terfikir pun hendak masuk ke gelanggang pengarahan. Ada calon pengarah-pengarah yang saya mahukan untuk projek ini, tetapi kedua-duanya tidak tersedia (available).
“Apabila kedua-dua calon tidak dapat meneruskan tugas atas sebab yang tidak dapat dielakkan, tiada pilihan lain, saya sendiri terpaksa turun padang. Lagipun, saya bakal mengarah filem tidak lama lagi selepas raya, jadi ini ibarat ‘pemanas badan’ buat saya,” ujarnya.
Drama Jangan Panggil Aku Gus merupakan projek kolaborasi rentas negara yang menggabungkan barisan pelakon popular dari Malaysia dan Indonesia.
Barisan pelakon yang membintangi drama ini termasuklah Bara Valentino, Lukman Sardi, Elina Joerg, Bima Samudera, Anna Jobling, Puteri Sarah, Umie Aida, dan Vanida Imran.
Drama ini bakal disiarkan secara rasmi di aplikasi Karya Reels bermula 5 Mac ini. Aplikasi Karya Reels boleh dimuat turun menerusi Google Play Store dan Apple App Store.




