Ikuti Kami:

Erika Foo Kembali Dengan Single Kedua, Gula Gula

Erika Foo Kembali Dengan Single Kedua, Gula Gula

Bakat baharu meningkat naik, Erika Foo Hann-Yi, terus mengorak langkah dalam dunia seni apabila tampil dengan single keduanya berjudul Gula Gula, selepas kejayaan lagu pertama Hidupkan Mimpi-Mimpi yang memperkenalkan dirinya kepada industri muzik tempatan.

Masih mengekalkan genre pop yang menjadi identiti muziknya, Gula Gula merupakan hasil ciptaan dan tulisan sepenuhnya oleh Mas Dewangga dan Jova Devito.

Lagu ini mengisahkan tentang kekecewaan seorang gadis apabila cintanya dikhianati kekasih sendiri yang menaruh hati terhadap sahabat baiknya.

Walaupun liriknya membawa tema pedih dan menyentuh hati, melodi serta susunan muziknya disusun agar kekal segar dan sesuai dengan karakter ceria penyanyi muda itu.

Menurut Erika, perjalanan kariernya sepanjang tahun ini cukup bermakna dengan pelbagai pengalaman berharga yang diperoleh.

“Banyak perkara baik berlaku kepada saya tahun ini. Saya berjaya tersenarai dalam Top 30 program Raise The Star Malaysia, terlibat dalam lagu raya bersama rakan-rakan artis di SRC, dan kini tampil dengan single kedua Gula Gula. Saya sangat bersyukur atas peluang ini,” katanya.

Menambah manis perjalanan seninya, Erika turut dicalonkan dalam kategori Artis Baru Terbaik di Anugerah Industri Muzik ke-24 (AIM 24) yang berlangsung pada September lalu di Arena of Stars, Genting Highlands adalah satu pengiktirafan besar buat penyanyi muda yang baru menapak dalam industri.

Walaupun sibuk dengan pengajian di peringkat A-Level, Erika tetap komited membahagikan masa antara pelajaran dan kerjaya nyanyian.

Lahir di Shah Alam, Selangor, Erika yang berbangsa Cina mula menunjukkan minat terhadap muzik sejak kecil dan pernah menjadi sebahagian daripada program koir Permata Seni.

Berbakat dalam nyanyian dan permainan piano, Erika mula serius dalam bidang seni apabila menyertai beberapa program pencarian bakat termasuk I Can See Your Voice Malaysia pada 2023, sebelum memulakan kerjaya secara solo di bawah label Suria Records (SRC) pada Oktober 2024.

Single Gula Gula kini boleh dimuat turun di iTunes serta distrim di platform muzik digital utama seperti Apple Music, Deezer, YouTube Music dan Spotify.

Komen
Loading...