EQ & TOHO Raikan 70 Tahun Godzilla di Langit Kuala Lumpur
- oleh MDaily Editor
- 23 Oct 2025 6:53 pm
Barangan koleksi khas ini dibawa oleh ahli-ahli Kelab Peminat Godzilla Malaysia.
Hotel EQ meraikan detik bersejarah apabila menjalin kerjasama kreatif dengan TOHO Co., Ltd., studio legenda dari Jepun yang terkenal dengan francais filem Godzilla, sempena ulang tahun ke-70 raksasa ikonik itu.
Dalam video khas terbitan TOHO, Godzilla memperlihatkan kemunculan terbaharunya buat pertama kali di rantau Asia Tenggara.
Antara babak paling mencuri perhatian ialah kemunculan bangunan EQ di langit Kuala Lumpur, berdiri megah di sisi Menara Berkembar Petronas ketika Godzilla melintasi ibu kota.
Kemunculan singkat namun simbolik itu mencetuskan inspirasi kepada kedua-dua pihak untuk melancarkan kolaborasi kreatif yang menyatukan elemen budaya pop Jepun dengan keanggunan hospitaliti Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Equatorial, Donald Lim, berkata pihaknya amat teruja apabila watak legenda itu dipaparkan dalam latar bandar raya Kuala Lumpur dengan bangunan EQ turut kelihatan dalam video peringatan keluaran TOHO Corporation.
“Kami amat teruja melihat Godzilla melintasi Kuala Lumpur dan melalui EQ dalam video peringatan TOHO Corporation. Ia satu penghormatan besar buat kami apabila mercu tanda EQ menjadi sebahagian daripada sejarah budaya pop dunia,” katanya.

Dari kiri ke kanan: Encik Justin Lee, Pengurus Besar, EQ; Encik Donald Lim, Ketua Pegawai Eksekutif, Kumpulan Equatorial; Cik Jasmine Goh, Eksekutif Pembangunan Perniagaan, TOHO Entertainment Asia Pte. Ltd.; Cik Fujii Misa, Penolong Pengurus, TOHO Entertainment Asia Pte. Ltd.; Encik Kane Chong, Ketua, Kelab Peminat Godzilla Malaysia; Encik Charles Lim, Ketua Pegawai Komersial, Kumpulan Equatorial; dan Cik Irene Soo, Pengarah Kumpulan Pemasaran dan Komunikasi, Kumpulan Equatorial.
Donald turut menambah bahawa kemunculan istimewa ini hadir pada waktu yang amat bermakna buat EQ, selepas hotel itu tersenarai di kedudukan ke-22 dalam Travel + Leisure 2025 Top 100 Hotels in the World.
“Lebih membanggakan, EQ merupakan satu-satunya hotel di Malaysia yang tersenarai dalam senarai berprestij tersebut. Sebagai tanda penghargaan, kami mengambil peluang untuk meraikan momen ini dengan menghasilkan cenderamata khas buat para tetamu,” ujarnya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak TOHO Corporation dan TOHO Entertainment Asia atas sokongan dan kerjasama yang diberikan dalam menjayakan projek kreatif ini.
“Terima kasih kepada TOHO Corporation dan TOHO Entertainment Asia atas kepercayaan serta peluang untuk menjayakan kolaborasi ini. Kami tidak sabar untuk melihat pengembaraan Godzilla yang seterusnya,” katanya lagi.
Bagi meraikan detik istimewa ini, EQ memperkenalkan koleksi barangan eksklusif edisi terhad bertemakan “Happy 70th Anniversary Godzilla”.
Antara yang dihasilkan termasuk T-shirt khas dan pelekat bagasi koleksi premium yang akan diberikan kepada tetamu serta rakan kongsi terpilih.

Minuman istimewa ini dicipta oleh ahli mixologi tetap EQ sebagai penghormatan kepada ulang tahun ke-70 Godzilla.
Selain itu, Sky51, turut memperkenalkan minuman istimewa dinamakan “King of Monsters” sebagai penghormatan kepada legasi sinematik Godzilla selama tujuh dekad.
Kolaborasi ini bukan sekadar memperingati legasi 70 tahun Godzilla, tetapi turut menjadikan Kuala Lumpur sebahagian daripada peta sejarah global raksasa ikonik itu, sekali gus memperkukuh kedudukan EQ sebagai hotel bertaraf dunia.
Untuk maklumat lanjut mengenai sambutan dan tawaran eksklusif di Sky51, layari www.eqkualalumpur.com atau hubungi +603 2789 7777.




