Penyanyi dan pencipta lagu, Valerayy, meneruskan evolusi muziknya dengan EP kedua bertajuk VILLAIN, selepas kejayaan EP sulung Castles & Carriages.
EP baharu ini menampilkan pendekatan lebih berani dalam muzik dan identiti artistik Valerayy, dengan lagu-lagu yang menekankan tema pemerkasaan diri, penerimaan terhadap sisi gelap dan keberanian untuk melepaskan diri daripada jangkaan orang lain.
Valerayy menyifatkan projek baharu ini sebagai manifestasi dirinya yang lebih berani dan bebas.
“Saya sering berasa penat apabila digambarkan sebagai ‘orang jahat’. EP ini adalah tentang saya yang akhirnya melepaskan semua itu dan mengambil semula suara sendiri,” katanya.
Dalam VILLAIN, yang bergenre dark-pop, Valerayy mengetengahkan tema identiti, pemerkasaan diri serta penerimaan terhadap sisi gelap diri.
“Saya dahulu sering menghukum diri sendiri atas siapa diri saya dan keputusan yang saya buat. EP ini adalah cara saya belajar berdamai dengan sisi ‘gelap’ diri sendiri.” katanya lagi.

Menurut Valerayy, lagu ini menandakan kebebasan dan keberanian untuk melepaskan diri daripada belenggu jangkaan.
“Adakah saya seorang ‘villain’? Jika itu cara orang mahu melihat saya, baiklah. Tapi bukankah kita semua sedikit ‘nakal’ dengan cara masing-masing?” ujarnya.
Lagu ini ditulis sendiri oleh Valerayy, diterbitkan oleh Zain, kemudian disempurnakan bersama penerbit Hayze dan diterbitkan di bawah Xpose serta Universal Music Malaysia.
Sebagai sebahagian pelancaran, Valerayy akan membuat persembahan di Nights of Fright 11 di Sunway Lagoon pada 31 Oktober ini, membawakan lagu Villain dan Greatest Warrior.
VILLAIN kini boleh didapati di semua platform penstriman utama.




