Enam Wakil Malaysia Buru Slot PMGC Di PMSL SEA Fall 2025
- oleh Mohd Indera
- 14 Sep 2025 2:36 pm

Enam wakil Malaysia bakal menggalas cabaran negara dalam PUBG MOBILE Super League (PMSL) SEA Fall 2025 yang sedang berlangsung di Bangkok, Thailand dari 10 hingga 21 September ini.
Pasukan terbabit ialah CelcomDigi Alliance (CDAL), SEM9, HomeBois x Maqna Esports Club (HBME), Team 52 (52), AZ Slumber (AZ) dan Todak (TDK).
Mereka akan menentang 18 lagi pasukan terbaik Asia Tenggara bagi merebut hadiah keseluruhan USD200,000 serta dua slot terakhir ke PUBG MOBILE Global Championship (PMGC).
Pengurus Negara (Malaysia) Tencent Games, Eugene Chin, berkata kejohanan kali ini menjadi penentu penting buat Malaysia kerana persaingan amat sengit.
“Perjalanan ke kejohanan ini sangat sengit, dan kami melihat pertumbuhan luar biasa daripada semua pasukan. Sokongan padu daripada rakan kongsi membolehkan kami mencipta pengalaman yang tidak dapat dilupakan untuk pemain dan peminat,” katanya.
Persaingan utama tertumpu kepada CDAL dan SEM9 yang kini bersaing rapat untuk merebut tempat ke PMGC. Kedua-dua pasukan membawa tenaga baharu dengan kemasukan pemain muda berusia 16 tahun dalam barisan utama mereka.
Pergerakan pemain turut menjadi sorotan. RAYYAN kembali menyarung jersi Malaysia bersama Team 52 selepas semusim bersama gergasi BTR, manakala Todak memperkukuh pasukan dengan memperoleh DEP dan KENNY daripada SEM9.
Gabungan antara HomeBois dan Maqna Esports Club pula menampilkan HBME sebagai pasukan kuda hitam yang mampu memberi kejutan.
Format kejohanan menyaksikan 24 pasukan dipecahkan kepada tiga kumpulan dengan hanya 16 terbaik mara ke Grand Final yang bakal berlangsung secara luar talian di centralwOrld, Bangkok pada 26 hingga 28 September.
Musim ini turut membawa semula format “SMASH RULE” yang menjanjikan penutup penuh dramatik.
Dengan reputasi dan semangat juang tinggi, enam wakil Malaysia kini menaruh harapan untuk mengibarkan bendera negara di pentas global esukan.