Ikuti Kami:

EMPAT Lancar Lagu “Jangan Henti”, Hangatkan Debaran Konsert Live 2025

EMPAT Lancar Lagu “Jangan Henti”, Hangatkan Debaran Konsert Live 2025

EMPAT, gabungan empat penyanyi tersohor tanah air iaitu Ziana Zain, Anuar Zain, Ernie Zakri dan Syamel, muncul dengan kejutan istimewa menjelang konsert besar-besaran mereka menerusi pelancaran lagu baharu berjudul Jangan Henti.

Lagu ciptaan Edry Abdul Halim dengan lirik hasil kolaborasi Syamel, Ernie serta Edry ini hadir sebagai simbol kasih, semangat dan penghargaan EMPAT terhadap sokongan peminat yang tidak pernah putus.

“Jangan Henti adalah hadiah terbaru daripada kami buat para peminat. Semoga irama ini menjadi pengikat kenangan terindah menjelang Konsert EMPAT Live in Kuala Lumpur 2025,” kata EMPAT dalam kenyataan rasmi.

Lebih menarik, lagu ini turut mendapat kerjasama Anuar Zain Network Sdn Bhd, Ziana Zain Network Sdn Bhd dan Universal Music Sdn Bhd, dan akan berada di semua platform digital minggu depan.

EMPAT bakal mengadakan tayangan perdana muzik video Jangan Henti pada 4 Oktober 2025, jam 12 tengah hari di Centre Court, Sungei Wang Plaza.

Acara ini bukan sekadar pelancaran, tetapi momen eksklusif untuk peminat meraikan detik bersejarah bersama idola mereka.

Sebanyak 70 peminat bertuah bakal berpeluang bertemu secara peribadi dengan EMPAT, berfoto bersama serta membawa pulang poster eksklusif bertandatangan.

Peluang itu diberikan kepada 50 peminat terawal dengan bukti pembelian tiket konsert serta 20 pembeli pertama tiket di lokasi acara.

“Setiap anda yang hadir bukan sekadar memberi sokongan, tetapi menjadi sumber kekuatan dan semangat buat kami. Sokongan anda adalah inspirasi yang akan membawa tenaga dan doa agar konsert nanti bukan sekadar sebuah persembahan, tetapi sebuah kenangan terindah buat semua,” ujar EMPAT.

Konsert EMPAT Live in Kuala Lumpur 2025 bakal berlangsung pada 18 Oktober di Mega Star Arena, menyatukan empat suara emas dalam satu pentas.

Peminat dijanjikan sebuah malam penuh magis yang bakal mencipta sejarah baharu industri muzik tempatan.

Bagi yang belum mendapatkan tiket, ia boleh didapati menerusi laman sesawang www.ticket2u.com.my/empatkl

Komen
Loading...