EMPAT: Kasih dan Suara Bersatu, Ziana Anuar Ernie Syamel Cipta Sejarah
- oleh MDaily Editor
- 20 Oct 2025 1:01 pm
Malam penuh magis dan kasih sayang melakar sejarah baharu dalam industri muzik tanah air apabila empat nama besar, Ziana Zain, Anuar Zain, Ernie Zakri dan Syamel, bersatu di pentas Empat Live In Kuala Lumpur 2025 yang berlangsung megah di Mega Star Arena, Kuala Lumpur.
Konsert yang dinanti-nantikan ini bukan sekadar persembahan muzik biasa, sebaliknya menjadi manifestasi keindahan kasih kekeluargaan, menyatukan dua generasi penyanyi hebat dalam satu pentas yang sarat dengan emosi, keharmonian dan nilai seni yang tinggi.
Lebih 4,500 peminat membanjiri arena bagi menyaksikan konsert keluarga pertama di Malaysia ini, yang berjaya menggabungkan kekuatan vokal empat penyanyi serumpun dalam satu persembahan penuh jiwa.
Malam bersejarah itu menyaksikan sebanyak 21 lagu termasuk beberapa medley dipersembahkan dengan susunan muzik segar oleh pengarah muzik berpengalaman, Lee Sze Wan.
Berkongsi perasaannya, Anuar Zain turut meluahkan penghargaan kepada peminat yang terus setia memberikan sokongan tanpa henti kepada mereka berempat.
“Walaupun jadual kami sangat padat, kami tetap mencari waktu terbaik untuk menjayakan konsert ini. Empat Live bukan sekadar persembahan, tetapi tanda penghargaan kami buat anda semua. Terima kasih atas kasih sayang, doa dan kesudian hadir menyaksikan konsert ini,” ujarnya.
Sementara itu, Ziana Zain menzahirkan rasa syukur apabila dapat menjayakan konsert bermakna ini meskipun berdepan pelbagai ujian dalam kehidupan.
“Walaupun banyak cabaran yang saya hadapi melibatkan diri sendiri, anak-anak, keluarga dan rakan-rakan, Allah sentiasa memberikan kekuatan untuk terus melangkah dan merealisasikan konsert ini. Alhamdulillah, saya sangat bersyukur atas peluang ini,” katanya.
Konsert yang berlangsung hampir tiga jam ini turut menjadi bukti bahawa sokongan peminat merupakan nadi utama yang menghidupkan semangat Empat satu keluarga, satu jiwa, satu sejarah.
Dianjurkan oleh Anuar Zain Network dengan Altus Prohouse selaku penganjur bersama serta pengurusan konsert, Empat Live 2025 bukan hanya meraikan muzik, tetapi juga hubungan kekeluargaan yang menjadi tunjang kepada empat bintang hebat ini.
Foto: ANUAR ZAIN NETWORK.




