Ikuti Kami:

Empat Ikon Muzik Malaysia Diabadikan di Hall of Fame Ekspo 2025 Osaka

Empat Ikon Muzik Malaysia Diabadikan di Hall of Fame Ekspo 2025 Osaka

Foto: MITI.

Universal Music Malaysia terus mengukuhkan kedudukan industri muzik tempatan di persada antarabangsa menerusi penganjuran pameran khas di Hall of Fame Malaysia, salah satu tarikan utama Pavilion Malaysia sempena Ekspo 2025 Osaka, Jepun.

Pameran yang berlangsung dari April hingga Oktober 2025 itu memberi penghormatan kepada empat figura penting dunia seni tanah air antaranya Tan Sri P. Ramlee, Dato’ Sri Siti Nurhaliza, Ernie Zakri dan kumpulan pop wanita terkenal, DOLLA.

Setiap artis dipilih kerana sumbangan besar mereka dalam membentuk identiti muzik Malaysia serta keberhasilan mereka menembusi pasaran antarabangsa.

Menurut kenyataan rasmi Universal Music Malaysia hari ini, pameran tersebut bukan sekadar bentuk penghargaan terhadap sumbangan seni, malah merupakan usaha konkrit membawa legasi muzik Malaysia ke peringkat global.

“Hall of Fame Malaysia bukan hanya meraikan kejayaan artis-artis tempatan, tetapi turut mempamerkan naratif perkembangan muzik Malaysia yang merentasi dekad dan sempadan budaya. Ia adalah cerminan kepada kekuatan dan daya saing muzik negara di peringkat dunia,” menurut kenyataan itu.

Antara elemen utama pameran termasuk persembahan multimedia dan audiovisual yang mengetengahkan perjalanan seni Tan Sri P. Ramlee sebagai ikon perfileman dan muzik Melayu, serta pencapaian cemerlang Dato’ Sri Siti Nurhaliza sebagai penyanyi kesayangan rakyat Malaysia.

Turut diberi perhatian ialah evolusi muzik pop moden menerusi suara dinamik Ernie Zakri, serta inovasi berani kumpulan DOLLA yang berjaya menempatkan diri mereka di kalangan penggiat muzik antarabangsa.

Anggota DOLLA, Tabby berkata, penyertaan mereka dalam Hall of Fame adalah satu penghormatan besar dan simbol kepada pencapaian seni yang telah mereka capai sejak penubuhan kumpulan itu pada tahun 2019.

“Kami berasa sangat bertuah. Pameran ini adalah bukti bahawa muzik Malaysia relevan dan boleh diterima di mana-mana. Kami bangga menjadi wakil negara dalam platform sebesar ini,” katanya.

Sementara itu, penyanyi berbakat besar Ernie Zakri turut melahirkan rasa syukur kerana penghargaan tersebut merupakan pengiktirafan terhadap dedikasi dan usaha seninya selama ini.

“Ini adalah satu momen bermakna dalam kerjaya saya. Terima kasih kepada Universal Music Malaysia dan peminat yang sentiasa memberi sokongan tanpa henti,” ujarnya.

Ekspo 2025 Osaka dijangka menarik jutaan pengunjung dari seluruh dunia, dan dengan kehadiran Hall of Fame Malaysia, muzik tanah air kini selangkah lebih dekat dengan pentas global.

Komen
Loading...