Ikuti Kami:

Empat Bintang Besar Tawar Hiburan Hebat di Kuala Lumpur

Empat Bintang Besar Tawar Hiburan Hebat di Kuala Lumpur

Konsert Empat Live In Kuala Lumpur 2025 bakal menjadi acara yang dinanti-nantikan apabila empat penyanyi terkenal tanah air – Ziana Zain, Anuar Zain, Ernie Zakri, dan Syamel – bergabung di atas satu pentas di Mega Star Arena pada 18 Oktober 2025.

Konsert ini, yang dianjurkan oleh Anuar Zain Network bersama Altus ProHouse, menjanjikan persembahan istimewa dengan gabungan lagu balada klasik dan moden.

Ziana berkata, dia sedang membuat persediaan rapi untuk memastikan persembahan berjalan lancar.

“Banyak lagu-lagu popular dan lagu lama yang jarang dinyanyikan akan dipersembahkan. Sama seperti Anuar, Syamel dan Ernie, saya memberi tumpuan kepada hafalan lirik dan persediaan mental,” katanya.

Ernie, yang teruja untuk berkongsi pentas bersama dua lagenda, berkata konsert ini adalah peluang besar untuknya.

“Konsert ini akan menjadi sejarah untuk saya dan industri muzik kerana ini kali pertama kami sekeluarga bergabung dalam acara besar. Saya terharu dengan sokongan luar biasa peminat yang telah membeli tiket,” katanya.

Syamel pula berazam memberikan persembahan yang menyentuh hati.

“Saya mahu peminat mengembara dan bernostalgia dengan lagu-lagu yang kami persembahkan. Besar harapan saya agar malam itu penuh emosi dan membawa kenangan manis buat semua,” katanya.

Jennifer Thompson, pengarah konsert, berkata acara ini telah dirancang sejak tiga tahun lalu dan menyifatkannya sebagai kolaborasi terbesar dekad ini. “Ia adalah 100% hiburan untuk semua peringkat umur,” ujarnya.

Konsert ini turut mendapat sokongan The Westin Kuala Lumpur sebagai hotel rasmi, yang menyediakan penginapan untuk artis dan sidang media.

Tiket mula dijual melalui platform www.ticket2u.com.my/empatkl dengan harga bermula dari RM288 hingga RM2,088, bergantung kepada kategori tempat duduk.

Komen
Loading...