Ikuti Kami:

Emma Maembong & Mierul Aiman Bergandingan Dalam “Seadanya Kita”

Emma Maembong & Mierul Aiman Bergandingan Dalam “Seadanya Kita”

Foto Oleh: FINAS.

Dua bintang popular tanah air, Emma Maembong dan Mierul Aiman, bergandingan buat pertama kali dalam drama bersiri terbaharu terbitan Viu Malaysia, Seadanya Kita (Unexpectedly Yours) yang bakal menemui penonton bermula 7 Ogos ini.

Gabungan unik antara pelakon wanita versatil dan pelakon lelaki yang semakin meningkat naik ini membawakan kisah cinta luar jangka antara seorang ibu tunggal dan penyanyi rock muda.

Drama 15 episod ini akan disiarkan secara eksklusif di platform Viu, dengan episod baharu setiap Khamis dan Jumaat.

Dalam Seadanya Kita, Emma Maembong membawa watak Alani, seorang ibu tunggal yang berusaha membina semula hidupnya bersama anak lelakinya, Iqi (lakonan Mikael Noah), selepas ditinggalkan oleh suaminya, Farouq (Shahz Jaszle). Namun, kepulangan Farouq selepas lima tahun mula menggugat kestabilan yang dibina.

Di sisi lain, muncul Kerol, lakonan Mierul Aiman, seorang penyanyi rock muda yang menyimpan luka silamnya sendiri. Pertemuan mereka pada mulanya bersifat profesional, namun berkembang menjadi hubungan yang lebih mendalam apabila Kerol menemui ketenangan dalam keluarga kecil Alani.

Kerjasama Emma dan Mierul yang pertama kali digandingkan ini memberi nafas baharu kepada drama tempatan dengan lakonan yang penuh emosi, kejujuran dan ketulusan dalam menggambarkan cinta yang melangkaui perbezaan usia dan masa lalu.

Menurut Imillya Irwani Roslan, Pengarah Produksi Viu Malaysia, pemilihan dua pelakon ini adalah antara kekuatan utama drama tersebut.

“Keserasian antara Emma dan Mierul amat menyentuh perasaan. Mereka berjaya menghidupkan kisah cinta yang tidak klise, penuh persoalan tentang masa lalu, pilihan hidup dan penerimaan. Ini antara gandingan yang kami percaya akan mencetuskan impak emosi mendalam buat penonton,” ujarnya.

Drama ini turut menampilkan barisan pelakon berpengalaman seperti Nelissa Nizam, Ara Johari, Yasmin Hani, Anas Ridzuan dan Shahz Jaszle, dengan sentuhan pengarahan oleh Feroz Kader yang sebelum ini mengarahkan Pabila Dia Tersenyum.

Menambah kekuatan emosi drama ini, lagu tema rasmi berjudul Berakhir Kita nyanyian Syamel turut dilancarkan serentak dengan penayangan drama.

Lagu ciptaan Shazriq Azeman dan Omar K dari World Peace Music kini boleh dinikmati di semua platform penstriman utama dan saluran YouTube Universal Music Malaysia.

Seadanya Kita menjadi drama ketujuh Viu Malaysia untuk tahun ini dan sekali lagi mengukuhkan komitmen mereka dalam menghasilkan kandungan tempatan yang dekat di hati penonton.

Untuk mengikuti perkembangan terkini dan menonton drama ini, muat turun aplikasi Viu di App Store, Google Play, Huawei AppGallery atau layari www.viu.com. Ikuti juga Viu Malaysia di media sosial rasmi mereka di Facebook, Instagram, X, TikTok dan YouTube.

Komen
Loading...