Emma Maembong Kekal Hubungan Baik dengan Bekas Suami Demi Kebajikan Anak-Anak
- oleh Mohd Indera
- 3 minggu lalu
Pelakon terkenal, Emma Maembong atau nama sebenarnya Fatimah Rohani Ismail, 32, menegaskan bahawa mengekalkan hubungan baik bersama bekas suami, Muhammad Shazli Azhar, 36, demi kebajikan anak-anak mereka.
Emma menjelaskan bahawa perpisahan mereka tidak sepatutnya menjadi punca anak-anak terabai.
“Kita tak boleh seksa anak-anak, it’s not good. Untuk anak-anak membesar dengan baik, kami masih keluar makan bersama bila saya habis kerja. Ayah adalah hero anak-anak, mak pula superwoman anak-anak,” ujarnya.
Menurut Emma, mereka tidak mempunyai isu dalam soal hak penjagaan anak dan sentiasa meletakkan keutamaan terhadap kesejahteraan anak-anak.
“Tak perlu kita bergaduh berebut anak-anak. Kami masih keluar makan bersama untuk anak-anak,” tambahnya.
Emma turut berkongsi bahawa keputusan untuk berpisah mengejutkan keluarganya, namun ia adalah hasil usaha mereka mencuba mempertahankan rumah tangga.
“Keluarga saya pun terkejut dan mereka bertanya mengapa. Saya katakan bahawa kehidupan berumah tangga bukanlah mudah. Kami mencuba, kalau ada jodoh, alhamdulillah,” katanya.
Emma juga menegaskan bahawa tiada keperluan untuk mendedahkan punca sebenar perpisahan kepada umum.
“Tak ada gunanya untuk saya kongsi punca perpisahan ini. Sebagai perempuan, kita akan ada momen kecewa dan begitu juga sebaliknya,” jelasnya lagi.
Emma, bagaimanapun, tidak menolak kemungkinan jodoh mereka bertaut kembali pada masa hadapan.
“Kalau tiba-tiba jodoh kami kembali? Saya juga yang akan menyesal sebab pernah buruk-burukkan bekas suami. Jadi, kami teruskan kehidupan masing-masing. Sedih, kecewa atau bahagia itu semua adalah rutin kehidupan. Fokus sekarang adalah untuk terus pandang ke depan dan besarkan anak-anak,” katanya.
Emma bertemu media selepas Majlis Malam Gala filem Jangan Pandang Belakang 2 yang berlangsung di Starling Mall, Petaling Jaya, Rabu lalu.
Filem Jangan Pandang Belakang 2 adalah kesinambungan daripada kisah saka keluarga Opah yang mencari tuan baharu untuk didampingi, namun ada sesuatu yang menghalang dan membawa pelbagai kejadian menyeramkan.
Menampilkan barisan pelakon seperti Emma Maembong, Iedil Dzuhrie Alaudin, Mawar Rashid, Alif Hadi, Khatijah Tan, Ruminah Sidek dan Cat Farish.
Jangan Pandang Belakang 2 akan mula ditayang di pawagam seluruh Malaysia pada 21 November ini.