Ello, Tantri Kotak, Rony Parulian, Arda Hatna & Hael Menghidupkan Nostalgia Peterpan
- oleh MDaily Editor
- 17 May 2026 12:35 pm
Kehangatan konsert “The Journey Continues – Peterpan, Semua Tentang Kita” yang dijadualkan berlangsung pada Julai ini kian terasa apabila pihak penganjur secara rasmi mendedahkan barisan penuh artis yang bakal menghidupkan semula legasi muzik kumpulan legenda Indonesia tersebut.
Mendahului senarai barisan bintang yang paling dinantikan ialah Marcello Tahitoe (Ello), vokalis kumpulan Dewa 19 yang terkenal dengan vokal penuh jiwa, serta Tantri Syalindri, vokalis kumpulan Kotak yang sinonim dengan aura rock bertenaga tinggi di atas pentas.
Turut menguatkan barisan artis ialah bintang muda yang sedang meningkat naik di Indonesia, Rony Parulian, dan penyanyi yang terkenal dengan karakter vokal menyentuh hati, Arda Hatna.
Manakala, figura popular tanah air, Hael Husaini, dipilih untuk membawa sentuhan emosi Malaysia ke dalam sebuah legasi muzik yang sudah lama dekat di hati peminat serantau.
Pihak penganjur menyifatkan konsert ini bukan sekadar persembahan muzik biasa, tetapi sebuah ‘pertemuan semula’ dengan bab kehidupan lalu yang pernah membesar bersama lagu-lagu tersebut.
“Apa yang menjadikan Peterpan begitu istimewa bukan sekadar lagu-lagunya, tetapi memori yang melekat bersama lagu tersebut. Ramai yang bukan sekadar membeli tiket untuk menonton persembahan, tetapi untuk merasai semula satu perasaan,” kata wakil pihak penganjur dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun, apa yang dijangka paling menyentuh emosi para peminat lama ialah pengesahan kemunculan semula empat anggota pengasas asal Peterpan iaitu Ilsyah Ryan Reza, Loekman Hakim, Andika Naliputra, dan Indra.
Gandingan semula mereka bersama barisan artis jemputan ini bakal mengimbau kembali nostalgia menerusi rangkaian lagu-lagu berhantu seperti Semua Tentang Kita, Mimpi Yang Sempurna, Yang Terdalam, dan Ada Apa Denganmu.
Sejak kaunter penjualan tiket dibuka secara rasmi pada 8 Mei lalu, sambutan yang diterima daripada peminat di Malaysia dan Indonesia dilaporkan amat luar biasa sehingga mencetuskan tular di pelbagai platform media sosial.
Pihak penganjur turut mengesahkan bahawa tiket bagi kategori tempat duduk CAT 3 dan kesemua pakej Royal Box telah pun habis terjual (sold out) dalam tempoh yang singkat.
Konsert “The Journey Continues – Peterpan, Semua Tentang Kita” bakal menggegarkan Idea Live Arena, Petaling Jaya pada 11 Julai 2026.
Peminat yang tidak mahu terlepas peluang keemasan ini disarankan untuk mendapatkan tiket dengan segera menerusi platform ejen jualan rasmi, Ticket2U dan Fantopia.
