Ikuti Kami:

Ella Umum Konsert Mega “Majlis Tertinggi Rockqueen” Feb 2026

Ella Umum Konsert Mega “Majlis Tertinggi Rockqueen” Feb 2026

Malaysia bakal disajikan dengan sebuah momen bersejarah apabila Ratu Rock Negara, Ella, mengumumkan konsert terbaharunya yang berskala mega, “Majlis Tertinggi Rockqueen”.

Konsert ikonik ini dijadualkan berlangsung pada tarikh istimewa Sabtu, 14 Februari 2026, bertempat di lokasi gergasi, Stadium Nasional Bukit Jalil.

Bukan sekadar hiburan, “Majlis Tertinggi Rockqueen” membawa misi yang lebih besar dengan mengangkat tema kemanusiaan iaitu “Peace, Love & Rindu”.

Menurut Ella, pemilihan nama konsert itu adalah simbolik dan terjemahan kepada sebuah gerakan yang ingin memberi impak dan legasi berpanjangan, terutamanya menjelang ulang tahun kelahirannya yang ke-60 pada tahun 2026.

“Saya akan mencapai usia 60 pada tahun 2026, dan sudah tentu saya ingin memberi impak dan legasi berkekalan khususnya dalam aspek kemanusiaan.

Majlis Tertinggi Rockqueen adalah terjemahan kepada sebuah gerakan yang mahukan ‘Peace, Love & Rindu’,” ujar Ella dalam sidang media yang di adakan di Stadium Bukit Jalil, di sini, hari ini.

Pengumuman yang dibuat hari ini menyaksikan Ella kembali ke pentas yang pernah menjadi saksi detik-detik monumental dalam kerjaya seninya.

Konsert ini dianjurkan oleh Hitman Solutions dan Rockqueen, sebagai penghargaan tertinggi terhadap legasi seni Ella yang mencecah hampir empat dekad.

Teras tema ini membawa makna mendalam: ‘Peace’ melambangkan solidariti terhadap perjuangan rakyat Gaza, ‘Love’ mengacu kepada isu buli, merujuk kepada institusi pendidikan di Malaysia, manakala ‘Rindu’ didedikasi kepada insan-insan penggiat seni tanah air.

Dalam usaha untuk menjadikan konsert ini sebagai ‘majlis buat rakyat’, penganjur, Hitman Solutions, menawarkan harga tiket yang amat mampu milik dan terjangkau bagi memastikan semua lapisan peminat dapat hadir.

Harga tiket bermula serendah RM39 (kategori RV) hingga RM499 (kategori VVIP). Kategori-kategori lain termasuk Bronze (RM69), Silver (RM99), Gold (RM149), Platinum (RM189), dan Diamond (RM249).

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Hitman Group, Rohit Rampal, menjelaskan bahawa konsert ini adalah sebahagian daripada usaha untuk ‘give back to the people’ (memberi kembali kepada masyarakat).

Lebih istimewa, setiap pembelian tiket akan disertakan dengan inisiatif sumbangan amal. Pembeli dikehendaki mengundi tabung sumbangan pilihan mereka— sama ada Peace (Persatuan Cinta Gaza Malaysia), Love (Yayasan Kebajikan Negara), atau Rindu (Yayasan Kebajikan Artis Tanahair).

“Setiap pilihan dan undian mengikut tema tersebut, organisasi berkaitan akan menerima sumbangan RM2 bagi setiap pilihan undian melalui tiket yang dibeli,” jelas Rohit.

Mengakui sudah lama tidak tampil di pentas sebesar Stadium Nasional Bukit Jalil, Ella melihat cabaran ini sebagai suntikan azam dan pembakar semangatnya.

Beliau menyimpulkan harapannya agar konsert ini mampu memberi sumbangan terbaik kepada pertubuhan amal yang terlibat, selain berharap generasi muda terus cemerlang dan penggiat seni terus terbela.

Peminat boleh mendapatkan tiket di laman web rasmi penganjur, www.hitmanlive.com.

Komen
Loading...