Ella dan Kyoji Yamamoto Bersatu di Pentas Konsert 30 Tahun Album Ikonik ‘USA’
- oleh Mohd Indera
- 2 minggu lalu

Malam gemilang di Arena of Stars, Genting Highlands menyaksikan Ratu Rock Malaysia, Ella, bergandingan dengan gitaris legenda Jepun, Kyoji Yamamoto, dalam konsert yang meraikan ulang tahun ke-30 album ikoniknya, USA.
Konsert yang bermula tepat jam 9 malam itu dipenuhi dengan sorakan lebih 4,200 peminat setia Ella yang hadir bagi menyaksikan persembahan bersejarah tersebut.
Kehadiran Kyoji Yamamoto sebagai tetamu khas menjadi detik yang paling dinanti-nantikan malam itu.
“Untuk lagu seterusnya, Ella ingin jemput seseorang. Tuan-tuan dan puan-puan, Ella memperkenalkan Kyoji Yamamoto.” katanya.
Kyoji, yang memainkan peranan penting dalam penghasilan beberapa lagu utama album USA, memukau hadirin dengan petikan gitarnya yang bertenaga.
Antara lagu yang dibawakan bersama ialah “Rindu”, “Penawar”, dan “Nuri”, di mana gabungan suara Ella dan permainan gitar Kyoji mencetuskan aura magis di pentas.
Selain itu, Ella turut membawakan beberapa lagu klasik seperti “Risau”, “Mungkin”, dan “Sembilu”, yang terus membangkitkan kenangan manis buat peminatnya.
Persembahan lagu ikonik “Standing in the Eyes of the World” turut disampaikan, menambahkan semangat di kalangan hadirin.
Konsert selama dua jam itu mencapai kemuncaknya dengan persembahan encore melalui lagu “Gemilang”.
Ella dan Kyoji kembali ke pentas, memberikan persembahan luar biasa yang meninggalkan memori indah kepada semua penonton.
Sempena sambutan Hari Guru dan Hari Bomba Sedunia, Genting Malaysia mengedarkan tiket percuma kepada individu-individu berdedikasi ini untuk menyaksikan konsert ulang tahun ke-30 penyanyi lagenda tanah air, Ella, yang berlangsung pada 17 Mei 2025 di Arena of Stars, Genting Highlands.
Inisiatif ini mencerminkan penghargaan Genting Malaysia terhadap sumbangan tidak ternilai anggota bomba dalam melindungi keselamatan Masyarakat dan para guru dalam membentuk generasi masa depan.
“Kami amat teruja dan berbesar hati diberikan peluang memperingati dua hari istimewa dalam bulan Mei ini dengan membalas jasa dan pengorbanan mereka kepada negara. Kami berharap mereka akan mendapat pengalaman yang penuh makna dan tidak dapat dilupakan bersama keluarga,” kata Spencer Lee, Naib Presiden Jualan, Pemasaran dan Perhubungan Awam, Resorts World Genting.
Ella USA merupakan album studio kelima Ella yang diterbitkan pada tahun 1994, album ini mencatat sejarah sebagai album pertama oleh penyanyi rock wanita Malaysia yang dirakam sepenuhnya di luar negara, iaitu di California, Amerika Syarikat.
Keunikan album ini turut diserlahkan dengan penglibatan pemain gitar terkenal dari Jepun, Kyoji Yamamoto, yang berperanan sebagai pemuzik latar, penerbit, dan pencipta untuk sepuluh lagu dalam album tersebut.
Konsert 30 Tahun Ella USA sekali lagi membuktikan legasi Ella sebagai Ratu Rock Malaysia yang tiada tandingan, sekaligus mengukir momen istimewa dalam sejarah industri muzik tanah air.