Ella, Amy Search, Shila Amzah & Penny Tai Gegar Konsert Ulang Tahun MR.DIY ke-20
- oleh Mohd Indera
- 1 hari lalu

Stadium Merdeka bakal bergegar dengan gabungan suara legenda dan bintang ternama apabila MR.DIY menyambut ulang tahun ke-20 dengan penganjuran konsert mega yang menampilkan barisan artis tersohor termasuk Ella, Amy Search, Shila Amzah dan Penny Tai.
Konsert yang dijadual berlangsung pada Jumaat, 11 Julai 2025 ini bakal menghimpunkan peminat dari pelbagai latar belakang dan generasi untuk satu malam sahaja, menyaksikan ikon muzik tanah air dan serantau bersatu di atas satu pentas.
Ratu rock negara, Ella, dijangka menghangatkan suasana dengan persembahan bertenaga seperti yang sinonim dengan namanya, manakala legenda rock Amy Search bakal membawa nostalgia buat peminat muzik era 80-an dan 90-an.
Turut menyemarakkan pentas ialah penyanyi bersuara lantang Shila Amzah yang terkenal dengan keupayaan vokal pelbagai genre, serta ratu pop Mandarin, Penny Tai, yang akan memukau peminat dengan lagu-lagu hitsnya.
Menurut MR.DIY dalam kenyataan rasmi, konsert ini adalah sebahagian daripada sambutan dua dekad syarikat itu dalam industri peruncitan dan sebagai tanda penghargaan kepada sokongan pelanggan selama ini.
“Konsert ini bukan sekadar hiburan, ia adalah perayaan penuh warna yang menghimpunkan artis pelbagai generasi dan genre, serta pengalaman festival yang mengasyikkan buat seluruh keluarga,” kata jurucakap MR.DIY.
Selain persembahan artis, acara ini turut menampilkan pertunjukan bunga api, paparan cahaya laser, pelbagai pilihan makanan dan minuman, sudut swafoto Instagrammable, cabutan bertuah dan pelbagai aktiviti interaktif.
Orang ramai boleh mendapatkan dua (2) tiket percuma dengan berbelanja minimum RM40 di mana-mana cawangan MR.DIY seluruh negara, bermula 31 Mei 2025. Penebusan boleh dibuat menerusi imbasan kod QR pada poster rasmi di kedai atau melalui laman web rasmi.
Hanya 3,000 penebusan pertama akan dilayan jadi siapa cepat, dia dapat.
Konsert Ulang Tahun ke-20 MR.DIY ini akan bermula pada jam 5.30 petang dan berlangsung di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur, menjadikan ia sebagai acara besar-besaran yang dinanti ramai menjelang pertengahan tahun ini.
Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, orang ramai digalakkan melayari mrdiy.com/concert2025 atau mengikuti MR.DIY di Facebook dan Instagram.