Elizabeth Tan Tak Sangka Menang FFM33, Dedah Alami Keguguran Kedua
- oleh Mohd Indera
- 1 bulan lalu
Penyanyi dan pelakon Elizabeth Tan, meluahkan rasa terkejut dan syukur selepas memenangi anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia Ke-33 (FFM 33).
Kemenangan ini dianggap luar jangkaannya memandangkan dia memulakan kerjaya sebagai penyanyi.
“Lizzy masih terkejut sebab tidak sangka akan memenangi anugerah ini. Namun, kemenangan ini amat bermakna buat Lizzy kerana Lizzy bermula sebagai seorang penyanyi, dan untuk mendapat pengiktirafan ini menunjukkan orang ramai mengakui Lizzy sebagai seorang pelakon. Saya sangat bersyukur dan masih kehilangan kata-kata,” ujarnya.
Di sebalik kegembiraan ini, Elizabeth atau nama penuhnya Tan Su Mei, turut mendedahkan pengalaman keguguran buat kali kedua beberapa bulan lalu ketika usia kandungannya tujuh minggu.
“Tahun ini agak sukar untuk saya sebab saya mengalami keguguran dua kali. Keguguran kedua ini berlaku beberapa bulan lalu. Bukan isu kesakitan yang ditanggung tetapi harapan untuk menimang cahaya mata. Apatah lagi saya dan suami teruja mendapat zuriat tetapi sekali lagi tiada rezeki,” katanya.
Elizabeth, yang mendirikan rumah tangga dengan Siew Jim pada 21 Mac 2021, menyatakan dia kini lebih berhati-hati dalam menguruskan kesihatan.
“Mungkin saya akan memperlahankan kerjaya seni kerana badan saya tidak senang ‘lekat’ dengan kandungan tersebut. Saya akan jaga sebaiknya dan tidak terlalu aktif,” tambahnya.
Elizabeth sebelum ini pernah berkongsi pengalaman keguguran pertamanya pada April lalu.