
Konsert ELITE LIVE ’25 yang berlangsung pada 20 September 2025 di Plenary Hall, Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) menjadi penawar rindu buat peminat setia kumpulan wanita ikonik era 90-an itu selepas lebih dua dekad tidak muncul dengan persembahan berskala besar.
Ribuan penonton yang membanjiri dewan seakan dibawa kembali ke zaman kegemilangan muzik pop Malaysia apabila lima anggotanya, Linda Rafar, Sasha Saidin, Watie Sadali, Abby Abadi dan Azza tampil bertenaga dengan persembahan penuh nostalgia.
Hampir tiga jam konsert berlangsung, menyaksikan ELITE menghidupkan semula memori peminat dengan rangkaian lagu popular seperti Ladiva, Merbahaya, Aku Siapa Kau Siapa, Mengerti dan Sesuatu Dalam Dirimu.
Segmen kedua pula diserikan dengan lagu Dua Hati dan Bila, diikuti duet istimewa bersama Alpha menerusi Di Pintu Syurga sebelum kumpulan itu mempersembahkan single Monalisa dan P. Ramlee dan Saloma.
Sorakan semakin gemuruh ketika segmen ketiga yang menampilkan medley Catwalk, Dirinya Dirimu Diriku dan Susah Jadi Senang. ELITE turut berpadu suara dengan X-Factor menerusi lagu Bertuah, sementara kumpulan itu sendiri mengusik emosi dengan Alhamdulillah, Trauma dan G.I.G..
Sebagai kemuncak, dua lagu paling ikonik mereka, Tamparan Wanita dan Manisnya Senyumanmu, dijadikan penutup konsert. Ribuan penonton berdiri dan menyanyi bersama, menjadikan malam itu penuh dengan emosi dan kenangan.
ELITE LIVE ’25 bukan sekadar sebuah konsert, sebaliknya menjadi bukti kasih sayang peminat yang tidak pernah pudar serta menandakan kebangkitan semula kumpulan wanita paling berpengaruh dalam sejarah muzik pop Malaysia.