
Kumpulan wanita ikonik era 90-an, ELITE bakal mengubat rindu para peminat setia menerusi konsert berskala besar pertama mereka, ELITE LIVE ’25 yang akan berlangsung pada 20 September 2025 di Plenary Hall, Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC).
Konsert yang dianjurkan oleh Icon Entertainment ini bukan sekadar persembahan pentas biasa, tetapi menjadi lambang kebangkitan semula ELITE selepas lebih dua dekad menyepi daripada pentas konsert besar.
Kumpulan yang pernah mencetus fenomena tersendiri sejak tahun 1996 itu dianggotai oleh Linda Rafar, Sasha Saidin, Watie Sadali, Abby Abadi dan Azza.
Kali terakhir mereka muncul secara langsung di hadapan khalayak ramai adalah ketika kemunculan mengejut dalam Konsert genKRU di Axiata Arena. Sambutan luar biasa yang diterima ketika itu telah mencetuskan ilham kepada Icon Entertainment untuk membawa ELITE kembali sepenuhnya dalam sebuah konsert solo.
Menurut Pengasas Icon Entertainment, Iman Tang, konsert ini dirancang dengan penuh teliti sebagai penghormatan kepada warisan muzik kumpulan wanita paling berpengaruh dalam sejarah muzik pop Malaysia.
“ELITE LIVE ’25 adalah projek yang melalui fasa perancangan dan penelitian yang rapi. Ia bukan sekadar mengikut trend konsert semasa, sebaliknya satu usaha mengembalikan kegemilangan kumpulan yang begitu signifikan dalam era 90-an. Ini bukan saja konsert buat ELITE, tapi untuk seluruh industri muzik,” jelasnya.
Menariknya, konsert ini bertepatan dengan ulang tahun ke-30 penubuhan ELITE, menjadikannya lebih istimewa buat para peminat lama dan generasi baharu yang ingin menyaksikan sendiri aura kumpulan yang pernah popular dengan lagu-lagu seperti Trauma, Tamparan Wanita, Manisnya Senyumanmu, Sesuatu Di Dalam Dirimu dan G.I.G.
Wakil kumpulan ELITE, Linda Rafar mengakui mereka pada awalnya ragu-ragu untuk menerima tawaran konsert ini kerana sudah lama tidak beraksi bersama di pentas berskala besar.
“Jujurnya kami agak bimbang kerana sudah lama tidak membuat persembahan bersama. Tapi setelah melihat semangat penganjur dan sambutan luar biasa sewaktu genKRU, kami sepakat untuk kembali. Ini hadiah buat peminat yang merindui kami dan peluang meraikan peminat baharu,” kata Linda.
Tiket bagi menyaksikan ELITE LIVE ’25 akan mula dijual pada Khamis, 26 Jun 2025 jam 2 petang menerusi laman web rasmi www.ticket2u.com.my/elite. Harga tiket ditawarkan dalam julat antara RM268 hingga RM1088, dengan kategori tertinggi termasuk sesi Meet & Greet dan jamuan ringan.
Konsert ini dijangka bukan sekadar mengimbau kenangan silam, tetapi menjadi malam penuh emosi, kejutan dan perayaan buat peminat yang membesar bersama lagu-lagu ELITE.
Jangan lepaskan peluang menyaksikan kemunculan semula yang dijangka menjadi salah satu detik paling bersejarah dalam muzik tempatan.