
Sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-68, filem aksi tempatan Gayong bakal kembali ke layar perak menerusi tayangan istimewa Director’s Cut yang hanya boleh disaksikan di pawagam TGV Cinemas terpilih seluruh negara.
Tayangan eksklusif ini akan berlangsung bermula 28 Ogos hingga 17 September 2025 dengan tiket berharga RM10 sahaja, tertakluk kepada terma dan syarat.
Selain itu, peminat turut berpeluang menyaksikan sneak preview eksklusif untuk Gayong 2, menjadikan acara ini lebih istimewa buat penggemar filem tempatan.
“Dengan tayangan istimewa ini, kami mahu membangkitkan semangat patriotisme dan jati diri masyarakat, seiring dengan tema kemerdekaan,” kata penganjur dalam kenyataan rasmi.
Sejak ditayangkan pada Mei lalu, Gayong berjaya meraih kutipan pecah panggung sebanyak RM4 juta, membuktikan sambutan hangat penonton tempatan terhadap naskhah berteras seni bela diri ini.
Filem tersebut turut melebarkan sayap ke peringkat antarabangsa apabila kini boleh distrim menerusi platform OTT di Amerika Latin, sekali gus memperkenalkan budaya dan seni mempertahankan diri warisan Melayu kepada dunia.
Terkini, Gayong turut tersenarai sebagai finalis di 3rd Cambodia Asian Film Festival 2025, satu lagi kejayaan membanggakan untuk industri filem Malaysia.
Gayong arahan Faisal Ishak menampilkan barisan pelakon hebat seperti Beto Kusyairy, Nabila Huda, Syafie Naswip, Yayan Ruhian, Chevanon Phukaokaew dan ramai lagi.
Maklumat lanjut mengenai tayangan boleh didapati melalui www.tgv.com.my