Ejen Ali The Movie 2 Perkenal Lagu Tema “Hanya Kamu”, Nyanyian Dato’ M Nasir
- oleh Mohd Indera
- 2 bulan lalu

Francais animasi kegemaran ramai, Ejen Ali, kembali mencuri tumpuan dengan pengumuman lagu tema rasmi untuk filem sekuelnya yang dinanti-nantikan!
Lagu berjudul “Hanya Kamu”, dendangan legenda muzik tanah air Dato’ M Nasir, kini boleh didengari di semua platform penstriman digital seperti Spotify, Apple Music, dan YouTube Music.
Lagu ini merupakan sebahagian daripada runut bunyi rasmi Ejen Ali The Movie 2, yang dijangka mencetuskan fenomena besar dalam dunia animasi tempatan.
Dengan gabungan muzik elektronik khas Ejen Ali dan kekuatan vokal Dato’ M Nasir, “Hanya Kamu” membawa semangat perjuangan dan keberanian yang selari dengan perjalanan Ejen Ali dalam sekuel terbarunya.
“Hanya Kamu” menandakan kali pertama Dato’ M Nasir terlibat dalam dunia muzik Ejen Ali, dengan hasil ciptaan bersama Azri Yunus dari Wau Animation. Lirik lagu ini pula ditulis sendiri oleh Dato’ M Nasir, menambahkan sentuhan peribadi dan keunikan pada karya tersebut.
Menurut penerbit muzik, Azri Yunus, lagu ini bukan sekadar runut bunyi biasa, tetapi simbol perjalanan dan transformasi Ejen Ali dalam sekuel terbarunya.
“Kami mahu mencipta sesuatu yang ikonik dan memberi inspirasi kepada penonton, terutama generasi muda, untuk berani menghadapi cabaran,” katanya.
Menggabungkan elemen pop, rock, dan elektronik, lagu ini memancarkan identiti tersendiri yang berbeza daripada runut bunyi animasi tempatan sebelum ini.
Bunyi sintetik futuristik mencerminkan dunia Cyberaya, manakala vokal Dato’ M Nasir membawa sentuhan emosi dan kematangan yang mendalam.
Lagu ini juga dijangka menjadi penyuntik semangat bagi peminat yang menantikan Ejen Ali The Movie 2, yang bakal membawa lebih banyak aksi, misteri, dan cabaran baharu buat Ejen Ali serta pasukan MATA.
Sebagai persediaan untuk pelancaran rasmi Ejen Ali The Movie 2, para peminat boleh menikmati “Hanya Kamu” di semua platform muzik digital bermula 31 Januari 2025.