Ejen Ali The Movie 2 Kembali Dengan Misi Baharu dan Aksi Lebih Hebat
- oleh Mohd Indera
- 1 hari lalu

Filem animasi tempatan yang dinanti-nantikan, Ejen Ali The Movie 2 (EATM2), kembali dengan misi baharu yang lebih mencabar serta paparan aksi yang lebih hebat dan mendebarkan, sekali gus menandakan satu lagi pencapaian penting dalam industri animasi Malaysia.
Tayangan perdana filem ini berlangsung meriah malam ini di IOI City Mall, Putrajaya, dengan kehadiran peminat, penggiat industri serta barisan tenaga produksi yang menjayakan sekuel kepada francais animasi tempatan berprestij itu.
Filem ini dijadual menemui penonton di seluruh negara bermula 22 Mei 2025.
Mengisahkan perjalanan ejen muda Ali yang kini menyertai program elit SATRIA satu inisiatif rahsia berasaskan teknologi tinggi dan kecerdasan buatan (AI), Ejen Ali The Movie 2 membawa penonton ke dalam dunia futuristik Cyberaya yang penuh dengan ancaman baharu.
Kemunculan semula watak misteri Neonimus yang menyimpan dendam terhadap Ali menambah lapisan konflik dalam misi yang menuntut keberanian dan kebijaksanaan luar biasa.
Pengarah filem, En. Usamah Zaid Yasin, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif WAU Animation, menzahirkan penghargaan kepada peminat yang setia menanti sejak pengumuman awal filem ini.
“Perjalanan untuk menyiapkan filem ini penuh cabaran, namun kami percaya usaha dan dedikasi ini akan membuahkan pengalaman sinematik yang berbaloi buat semua,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima dan Primeworks Studios, Puan Nini Yusof, turut melahirkan rasa bangga atas pencapaian francais Ejen Ali.
“Kejayaan Ejen Ali membuktikan bahawa kandungan tempatan mampu mencipta impak global dan mengangkat kreativiti rakyat Malaysia ke persada antarabangsa,” ujarnya.
Sejak mula disiarkan pada 2016, Ejen Ali telah berkembang menjadi harta intelek (IP) yang dikenali di lebih 65 negara. Filem pertamanya yang ditayangkan pada 2019 mencatat kutipan melebihi RM30 juta, satu rekod membanggakan dalam sejarah animasi tempatan.
EATM2 menampilkan bukan sahaja naratif dan visual yang diperhebatkan, malah turut diserikan dengan runut bunyi mengesankan seperti Hanya Kamu oleh Dato’ M. Nasir, Teman Sejati oleh kumpulan Nidji, serta Penjuara oleh Hael Husaini.
Lagu-lagu ini memainkan peranan penting dalam menghidupkan emosi dan momen penting sepanjang filem.
Majlis tayangan perdana turut diserikan dengan persembahan istimewa termasuk nyanyian langsung lagu tema oleh Dato’ M. Nasir serta persembahan tarian bertenaga diiringi lagu Penjuara. Turut mencuri tumpuan ialah flash mob mengejut lagu ikonik Mamak Maju dari filem pertama.
Tanda sokongan luar biasa peminat turut terserlah apabila tiket pratonton khas filem ini habis terjual di sembilan lokasi GSC dalam masa singkat. Tiket awal kini boleh didapati di lebih 70 pawagam seluruh negara, bersempena musim cuti sekolah yang bakal tiba.
Selain itu, pelbagai barangan eksklusif ditawarkan seperti figurine tumbler edisi terhad, peranti IRIS interaktif, dan koleksi bucket popcorn dengan rekaan watak-watak popular dari filem berkenaan.
Dibawakan oleh Primeworks Studios dan WAU Animation dengan kerjasama Komet Productions, Ejen Ali The Movie 2 bersedia menyemarakkan semangat penonton dari pelbagai lapisan umur dan latar belakang.