Ikuti Kami:

Eira Syazira & Nabila Maharani Hidupkan Kisah Klasik Dalam Bawang Merah Bawang Putih

Eira Syazira & Nabila Maharani Hidupkan Kisah Klasik Dalam Bawang Merah Bawang Putih

Kisah dongeng klasik Nusantara kembali diangkat dalam bentuk muzik apabila pelakon popular Malaysia, Eira Syazira, bergabung dengan penyanyi muda berbakat besar dari Indonesia, Nabila Maharani, menerusi single terbaharu berjudul Bawang Merah Bawang Putih.

Single bergenre pop ini bukan sahaja menyatukan dua suara dari dua negara, malah mengangkat kisah tradisi yang sudah lama menjadi sebahagian budaya serumpun.

Lagu berkenaan dicipta sepenuhnya oleh Trisuaka dengan susunan muzik oleh Ardy Goliath dan dirakam di Studio Trisna Music, Yogyakarta.

Dalam sidang media pelancaran yang berlangsung di Hotel Le Meridien Putrajaya hari ini, Eira menyifatkan pengalaman merakam lagu tersebut sebagai sesuatu yang istimewa.

“Rakaman itu cabaran dia tak ada sangat, cuma masa tu kita rakam pada bulan puasa. Rakaman pun sekejap sahaja, tak sampai satu hari pun di studio Trisna Management, Jogja.” katanya.

Eira Syazira, atau nama penuhnya Syazira Sarimah Sakinah Almera binti Shuhaimi, yang sebelum ini pernah berduet bersama Dodhy dari Kangen Band, berharap lagu terbaharu itu mendapat tempat di hati peminat kedua negara.

“Kami berharap Bawang Merah Bawang Putih dapat diterima sebagai kolaborasi dua negara dan memberi manfaat kepada peminat di Indonesia serta Malaysia,” katanya.

Nabila Maharani Widyadewi, atau lebih dikenali sebagai Nabila, yang mula mendapat perhatian menerusi kolaborasi bersama Tri Suaka melalui persembahan jalanan di Yogyakarta, turut menzahirkan rasa syukur kerana berpeluang terbabit dalam projek ini.

“Kami bertemu di Jogja dan Alhamdulillah, itu rezeki. Dari situ kami fikirkan apa bentuk kerjasama yang sesuai antara Indonesia dan Malaysia, lalu sepakat memilih lagu bertemakan Bawang Merah Bawang Putih. Menariknya, saya baru tahu cerita ini juga popular di Malaysia,” katanya.

Sementara itu, wakil pengurusan projek, Azad Jazmin, berkata kerjasama ini membawa misi lebih besar daripada sekadar melahirkan sebuah karya muzik.

“Kolaborasi ini bukan sahaja mempertemukan dua suara hebat dari dua negara, malah menjadi jambatan budaya yang menyatukan Malaysia dan Indonesia melalui muzik,” katanya.

Video muzik yang turut menjalani penggambaran di Jogja memberi nafas baharu kepada kisah klasik, menampilkan watak Bawang Putih yang sering dianiaya ibu serta adik tirinya, sebelum kemunculan seorang putera berkuda yang menjadi penyelamat.

Kerjasama ini dijayakan melalui naungan ES Arjuna Management dari Malaysia dan Positif Art Entertainment dari Indonesia, manakala keseluruhan projek termasuk pembikinan video muzik ditaja penuh oleh produk penjagaan rambut, Candyta.

Bawang Merah Bawang Putih kini boleh didapati di semua platform digital bermula hari ini, 9 September 2025, dan dijangka mendapat sambutan hangat daripada peminat muzik serantau.

Komen
Loading...