Ikuti Kami:

Ed Sheeran Kembali dengan ‘Play’: Single Nostalgia ‘Old Phone’ Kini Dilancarkan

Ed Sheeran Kembali dengan ‘Play’: Single Nostalgia ‘Old Phone’ Kini Dilancarkan

Ed Sheeran membuka lembaran baharu dalam kerjayanya dengan pelancaran single terbaharu berjudul Old Phone, sebagai pengenalan kepada album studio seterusnya, Play, yang bakal menemui peminat pada 12 September 2025.

Selepas kejayaan siri album Mathematics yang menampilkan gaya introspektif dan balada peribadi, Sheeran kini tampil dengan Old Phone, sebuah lagu akustik yang penuh nostalgia dan emosi.

Dihasilkan bersama penerbit terkenal Blake Slatkin dan Ilya Salmanzadeh, lagu ini membawakan kisah menyentuh hati apabila Sheeran menemui semula telefon lama yang menyimpan memori dari tahun 2015 — termasuk mesej daripada rakan yang telah lama hilang, pertengkaran cinta lama, dan detik-detik bersama keluarga yang semakin jauh.

Dengan melodi yang lembut dan penulisan lirik yang tulus, Old Phone mengimbau kembali kekuatan Sheeran sebagai penyanyi-penulis lagu.

Lagu ini bukan sekadar pengenalan kepada album baharu, tetapi juga cerminan pertumbuhan peribadi dan artistik seorang pengkarya yang tidak pernah berhenti bereksperimen dan mencabar diri.

Album Play, yang kini dibuka untuk pra-tempahan, dijangka membawa Sheeran ke arah lebih berani dalam dunia muzik.

Terinspirasi oleh pengalaman dan pengembaraan di seluruh dunia termasuk India, Iran dan akar muzik rakyat Ireland, Play dijanjikan sebagai koleksi muzik yang sarat dengan warna, budaya, dan eksplorasi sonik.

“Selepas melalui saat paling sukar dalam hidup saya, saya hanya mahu mencipta sesuatu yang menyeronokkan dan berwarna-warni,”

“Saya rakam album ini di serata dunia, dan menyudahkannya di Goa, India — satu fasa yang benar-benar membuka jiwa saya.” kata Sheeran.

Dengan pelancaran Old Phone, peminat dapat merasai permulaan kepada perjalanan sonik yang lebih luas dan bertenaga dalam Play — satu album yang bukan sekadar karya muzik, tetapi juga refleksi kehidupan, kenangan dan kegembiraan Ed Sheeran.

Komen
Loading...