Ecotwin Step Anjur Bengkel Perkasa Minda & Bisnes Usahawan
- oleh Mohd Indera
- 10 Sep 2025 8:19 pm

Ecotwin Step Sdn. Bhd. hari ini menganjurkan bengkel keusahawanan bertajuk “Reset Diri, Ubah Rezeki” yang berlangsung di Dewan Parameswara 2, The Mines Resort & Golf Club, menghimpunkan kira-kira 100 usahawan kecil dan sederhana.
Program sehari penuh itu memberi tumpuan kepada pembangunan minda dan strategi perniagaan, dengan objektif membantu peserta memperkukuh daya tahan mental, meningkatkan produktiviti, serta membina sistem pengurusan perniagaan yang lebih berkesan.
Bengkel ini dikendalikan oleh Dr. Hisham Dzakiria, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Ecotwin Step Sdn. Bhd., yang turut dikenali sebagai “Dr. Healing”, bersama jurulatih keusahawanan, Coach Termizi Ab Aziz.
Antara modul utama yang diketengahkan termasuk mengenal pasti punca cabaran usahawan, latihan relaksasi dan mind reset untuk mengekalkan fokus serta tenaga, selain panduan membina sistem pengurusan bisnes lebih tersusun dan mengukuhkan mindset usahawan.
Turut menyerikan acara, penyanyi dan usahawan Ayu Damit yang mempersembahkan beberapa lagu, termasuk Hanya Di Mercu, bagi menyemarakkan semangat kebangkitan dalam kalangan peserta.
Menurut Dr. Hisham, program itu bukan sekadar motivasi semata-mata, sebaliknya membimbing peserta bagaimana kekuatan minda mampu mengubah arah hidup dan perniagaan mereka.
“Ramai usahawan gagal kerana minda mereka tidak kuat. Dalam program ini, kita ajar mereka bahawa kegagalan bukan noktah, sebaliknya maklum balas yang harus ditukar kepada tindakan. Jika minda kuat, insya-Allah kejayaan boleh digapai,”
“Kebanyakan kita terlalu memikirkan pandangan orang luar sehingga takut untuk berubah. Sedangkan untuk maju, kita mesti berani mengambil langkah pertama. Reset diri adalah kunci sebelum rezeki berubah,” katanya.
Dr. Hisham yang berpengalaman lebih 30 tahun dalam dunia akademik turut menekankan pentingnya membina growth mindset dalam kalangan usahawan.
“Tidak ada istilah gagal dalam kehidupan. Yang ada hanyalah maklum balas. Jika kita tersungkur, kita belajar bagaimana untuk bangun dengan cara berbeza. Inilah yang membezakan usahawan berjaya dengan mereka yang berhenti mencuba,” ujarnya lagi.
Ecotwin Step menawarkan pelbagai program latihan bersemuka, kursus dalam talian, bimbingan eksekutif dan latihan dalaman syarikat, merangkumi sektor awam serta swasta di Malaysia dan beberapa negara Asia.
Menurut Dr. Hisham, Ecotwin Step kini dalam persiapan membuka “Healing and Wellness Centre” pada penghujung bulan ini bagi menyediakan ruang latihan dan terapi minda untuk membantu mereka yang bergelut dengan tekanan hidup, kemurungan serta masalah ‘burnout’.
“Ramai orang di luar sana tidak tahu bagaimana untuk bangkit selepas jatuh. Dengan pendekatan NLP dan teknik mind reset, kami mahu bantu mereka keluar daripada tekanan, kembali bersemangat, dan seterusnya mencipta strategi baharu untuk berjaya,” katanya.
Bengkel ini diyakini menjadi platform penting kepada usahawan tempatan untuk memperkukuh ilmu, meningkatkan ketahanan mental dan memperbaharui semangat dalam mengharungi cabaran dunia perniagaan.