Ikuti Kami:

Echo Of a Dream: Insomniacks Lunaskan Impian Selepas 10 Tahun

Echo Of a Dream: Insomniacks Lunaskan Impian Selepas 10 Tahun

Impian yang pernah hanya dilafaz dalam sembang sesama anggota akhirnya menjadi kenyataan.

Selepas 10 tahun berjuang membina nama dalam industri muzik, kumpulan pop rock tempatan Insomniacks bakal melunaskan impian lama mereka menerusi konsert penuh sulung bertajuk Echo of a Dream di Zepp Kuala Lumpur, Sabtu ini.

Bagi Insomniacks yang kini terdiri daripada tiga anggota aktif iaitu Iqie (penyanyi utama dan guitar), Iskandar (bass) dan Danial (guitar), konsert ini bukan sekadar persembahan pentas tetapi lambang pencapaian dan penghargaan terhadap sokongan peminat sejak hari pertama.

“Dulu masa kita baru ada 1,000 pengikut di Instagram, kita pernah cakap, ‘bayangkan kalau semua ni datang satu bilik tengok kita perform’. Sekarang, kita bakal pentas depan 2,000 orang. Gila tu,” kongsi Iskandar ketika ditemui media semasa sesi latihan mereka semalam.

Menurut mereka, hasrat untuk mengadakan konsert sebenarnya sudah lama dirancang, namun pelbagai kekangan seperti kekurangan lagu, kekangan masa dan logistik menyebabkan ia sering tertangguh.

“Kami dah lama rancang. Tapi masa tu belum cukup lagu. Sekarang baru semuanya lengkap.,” kata Iskandar.

Biarpun ini merupakan konsert pertama berskala penuh buat Insomniacks, sambutan daripada peminat ternyata luar biasa apabila tiket habis terjual dalam masa hanya empat jam.

“Mula-mula kami sendiri tak pasti boleh jual ke tak. Tak pernah buat kan? Tapi bila tahu sold out dalam empat jam, memang terharu,” ujar Danial.

Menggunakan nama Echo of a Dream, konsert ini menggambarkan perjalanan dan pencapaian Insomniacks selama ini dari zaman tiada siapa mengenali, hingga kini mampu berdiri sendiri dengan karya dan peminat sendiri.

“Konsert ni macam satu tanda terima kasih kami kepada semua yang pernah sokong. Ini pertama kali semua orang dapat tengok keseluruhan diskografi kami dalam satu malam,” kata Iskandar.

Insomniacks turut memberi bayangan bakal membawa kejutan istimewa buat peminat termasuk persembahan lagu cover dan kehadiran artis jemputan.

Mengulas lanjut, Iqie menzahirkan penghargaan kepada semua peminat yang akan hadir ke konsert tersebut, sama ada yang telah menyokong sejak awal atau baru mengenali muzik mereka.

“Kepada peminat yang akan datang Sabtu ini, tak kisahlah sama ada korang sudah menyokong kami sejak 10 tahun lalu atau baru-baru ini. Kami amat menghargai anda semua,” katanya.

“Dan kepada semua yang akan hadir, kami harap anda dapat cipta kenangan manis bersama rakan-rakan dan juga bersama kami di konsert nanti,” tambahnya.

Konsert Insomniacks: Echo of a Dream yang dianjurkan oleh Sah Entertainment dengan kerjasama Universal Music Malaysia bakal berlangsung pada Sabtu, 13 Julai 2025 di Zepp Kuala Lumpur.

Komen
Loading...