Ebit Lew dipanggil Bukit Aman, henti beri bantuan secara langsung
- oleh Mohd Indera
- 5 tahuns lalu
PENDAKWAH yang kerap menolong golongan fakir dan miskin, Ebit Lew hari ini dipanggil oleh Cawangan Khas Bukit Aman bagi memberi penjelasan berkaitan kes tular beliau membantu keluarga daif di Alor Setar.
Ebit berkata, beliau dihubungi Cawangan Khas Bukit Aman sejak malam tadi kerana terdapat aduan mengenai bantuan yang disalurkan kepada keluarga tersebut.
“Menangis dari tadi. Cuma nak menangis pada Allah. Entahlah. Tersandar rasa. Rasa penat sangat. Walau ada kebenaran untuk memberi bantuan. Dari tengah malam semalam saya dihubungi untuk ke Cawangan Khas Bukit Aman.
“Terus ke sana hari ini untuk mendapatkan dan memberi penjelasan terutama kes viral beberapa hari lalu kerana ada aduan. Mereka semua baik-baik melayan saya dengan sangat baik. Terima kaseh sangat,” kata Ebit.
Jelas Ebit, atas nasihat yang diberikan beliau akan berhenti menghulur bantuan secara langsung kepada golongan yang memerlukan.
Sebaliknya, beliau akan memberikan bantuan dari segi wang tunai kepada mereka yang memerlukan melalui pemindahan wang melalui bank.
Beberapa hari lalu tular di media sosial Ebit membantu keluarga Ishak Darus atau Pak Ak yang mengalami strok.