Ikuti Kami:

Ebi Kornelis Tidak Sangka ‘Syurga Dalam Botol’ Catat Kutipan RM1.24 Juta Dalam Masa Singkat

Ebi Kornelis Tidak Sangka ‘Syurga Dalam Botol’ Catat Kutipan RM1.24 Juta Dalam Masa Singkat

Filem tempatan arahan dan terbitan anak Sabah, Ebi Kornelis, Syurga Dalam Botol (SDB) mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya mencatat kutipan lebih RM1.24 juta, menjadikannya antara filem Sabah dengan kutipan tertinggi di negara ini.

Lebih membanggakan, pencapaian itu diraih dalam tempoh singkat selepas ditayangkan di pawagam seluruh negara, sekali gus menonjolkan potensi besar karya dari Borneo di pentas arus perdana.

Ebi yang juga penerbit dan pelakon utama filem berkenaan mengakui tidak menyangka sambutan penonton begitu luar biasa, apatah lagi karya ini dihasilkan dengan bajet sederhana.

“Alhamdulillah, terima kasih rakyat Sabah dan seluruh Malaysia atas sokongan luar biasa ini. Semoga Allah melimpahkan rahmat-Nya kepada semua yang bersama-sama menjayakan dan menyokong filem Syurga Dalam Botol. Sama-sama kita cipta sejarah filem negara dan Sabah,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook rasminya.

Menurut laporan Harian Metro, Ebi turut mengakui tidak menyangka kutipan filem itu mampu melepasi angka RM1 juta dalam tempoh singkat.

“Saya benar-benar tidak menjangka sambutan sehebat ini. Pada awalnya, saya hanya berharap ia membuka ruang agar karya anak Sabah dihargai, namun alhamdulillah, sambutan penonton dari seluruh Malaysia amat luar biasa,” katanya

Filem Syurga Dalam Botol merupakan antara karya yang menerima Dana First Time Amateur Filmmaker (FAME) daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) yang bertujuan menyokong bakat baru dalam pembikinan filem tempatan.

Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib, menzahirkan rasa bangga terhadap pencapaian filem berkenaan yang disifatkan sebagai satu kejayaan besar bagi karya dari Sabah.

“Filem yang mengetengahkan isu kanak-kanak tanpa kewarganegaraan di Sabah ini mencipta kejayaan tersendiri apabila berjaya meraih kutipan lebih RM1 juta. Ini boleh dianggap pencapaian membanggakan bagi karya sulung seorang pengarah baharu serta produksi tempatan dari Sabah,” katanya seperti dilaporkan media.

Filem terbitan Global Nusantara Production Sdn Bhd arahan Ebi Kornelis ini menampilkan barisan pelakon hebat seperti Kenneth Torrecampo Oliver, Ebi Kornelis sendiri, Dg. Hasnah, Sharizan Tahir, Quzhairil Lona Walawd, Selhan Ramon dan Abdul Kams Sainali.

Komen
Loading...