Ikuti Kami:

Ebi Kornelis Syukur Syurga Dalam Botol Raih RM750,000 Dalam Lima Hari

Ebi Kornelis Syukur Syurga Dalam Botol Raih RM750,000 Dalam Lima Hari

Pengarah dan penerbit dari Sabah, Ebi Kornelis, menzahirkan rasa syukur apabila filem terbaharunya, Syurga Dalam Botol, berjaya meraih kutipan memberangsangkan sebanyak RM750,000 hanya dalam tempoh lima hari tayangan.

Menerusi hantaran di laman Facebook, Ebi mengucapkan terima kasih atas sokongan penonton serta menyifatkan kejayaan tersebut sebagai bukti bahawa karya dari Sabah juga mampu berdiri sama tinggi dengan filem arus perdana tanah air.

“Jangan lagi pandang karya Sabah sebelah mata. Dana yang diberi, kalau digunakan dengan baik dan amanah, insya-Allah pasti boleh,” katanya.

Filem Syurga Dalam Botol, yang mula ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 9 Oktober lalu, diarahkan oleh Ebi sendiri dan diterbitkan oleh Global Nusantara Production Sdn Bhd.

Mengangkat tema harapan dan kemanusiaan, naskhah ini mengisahkan perjuangan jiwa dan semangat manusia yang tetap bertahan walau dalam kesengsaraan, diilhamkan daripada simbolik “botol” yang menghanyutkan mesej dari Gaza ke seluruh dunia.

Menampilkan barisan pelakon seperti Kenneth Torrecampo Oliver, Dg. Hasnah, Sharizan Tahir, Quzhairil Lona Walawd, Selhan Ramon dan Abdul Kams Sainali, filem ini turut memperlihatkan keindahan landskap Sabah sebagai latar utama penggambaran.

Syurga Dalam Botol: Kisah Harapan dan Kemanusiaan Di Pawagam 9 Oktober

Menurut Ebi atau nama penuhnya Ebi Kornelis Firdaus bin Yaimal, pencapaian ini membuktikan bahawa dengan amanah, semangat dan empati tinggi, sesuatu karya mampu mencipta impak besar.

“Aku bersyukur aku ada team yang kuat di belakang aku. Tidak sempurna tapi mereka amanah. Setiap orang ada kelemahan tapi kalau Amanahnya kuat dan empatinya tinggi” katanya.

Beliau turut menyeru masyarakat terus menyokong filem tempatan yang membawa mesej kemanusiaan serta memperkukuh suara kreatif dari Borneo.

Filem Syurga Dalam Botol turut mendapat sokongan daripada FINAS dan Kementerian Komunikasi, dan masih ditayangkan di pawagam seluruh negara.

Komen
Loading...