Ikuti Kami:

Ebby Yus, Usop Gahai, Fuad Nasir Angkat Loghat Nogori Dalam ‘Jom Balik Raya’

Ebby Yus, Usop Gahai, Fuad Nasir Angkat Loghat Nogori Dalam ‘Jom Balik Raya’

Suasana sambutan Aidilfitri tahun ini bakal diserikan dengan kolaborasi istimewa yang cukup unik apabila pelawak popular, Ebby Yus, bergabung tenaga dengan dua bakat muda yang juga pempengaruh TikTok, Usop Gahai dan Fuad Nasir, menerusi single raya terbaharu berjudul Jom Balik Raya.

Menariknya, lagu ciptaan komposer berpengalaman, Pakya ini bukan sekadar sebuah karya hiburan bermusim, malah ia menyuntik elemen jati diri apabila mengangkat sepenuhnya loghat Negeri Sembilan sebagai tunjang utama dalam lirik dan penyampaiannya.

Menurut Pakya, idea untuk menyatukan mereka tercetus selepas melihat keserasian antara Ebby Yus, yang pernah menjadi tenaga pengajar kepada Usop dan Fuad dalam program realiti Mencari Sepahtu Yang Hilang sebelum ini.

“Pihak Luncai Emas sebagai pengedar digital dan pentadbir hak cipta memang mahukan saya memperbanyakkan lagu untuk artis komedi. Kebetulan, Usop dan Fuad adalah finalis program yang saya jurikan, manakala Ebby Yus adalah cikgu mereka. Jadi, saya gabungkan semula cikgu dan murid ini dalam satu lagu,” jelas Pakya.

Tambah Pakya lagi, peminat bakal disajikan dengan sisi tersembunyi Ebby Yus yang jarang dilihat sebelum ini.

“Ramai yang tidak tahu Ebby Yus sebenarnya boleh menyanyi dengan sangat merdu, cuma beliau kurang mendapat pendedahan dalam bidang muzik sebelum ini,” katanya.

Bagi Ebby Yus, peluang bekerjasama dengan dua anak muda yang berasal dari negeri yang sama dengannya, iaitu Negeri Sembilan, adalah satu pengalaman yang cukup bermakna.

Beliau melihat inisiatif ini sebagai satu langkah untuk memastikan dialek ‘Nogori’ terus relevan dalam industri muzik tanah air.

“Saya rasa sudah tiba masanya dialek Negeri Sembilan diangkat semula memandangkan penyanyi yang membawakan dialek ini sudah semakin tiada. Selain faktor keserasian, kami mahu menonjolkan keunikan budaya bahasa kami supaya ia nampak lebih menarik dan dekat di hati pendengar,” ujar Ebby.

Dalam pada itu, Fuad Nasir menyifatkan peluang bekerjasama dengan ‘otai’ yang berpengalaman lebih 30 tahun dalam industri hiburan sebagai satu penghormatan besar.

“Lagu ini sengaja menggunakan loghat ‘Nogori’ untuk menonjolkan kelainan serta menyuntik elemen nasihat secara bersahaja. Walaupun melodinya ceria, ada elemen nostalgia dan nasihat yang disampaikan dalam nada bergurau,” kata Fuad.

Usop Gahai pula menambah, ilham lirik lagu tersebut diambil daripada pelbagai ragam perantau yang tidak sabar untuk pulang ke kampung halaman setiap kali tibanya Syawal.

“Harapan saya agar lagu ini menjadi siulan semua golongan dan memberi peringatan kepada anak-anak supaya tidak melupakan ibu bapa yang sedang menanti di kampung,” kata Ebby.

Video muzik Jom Balik Raya sudah boleh ditonton di saluran YouTube rasmi bermula 6 Mac lalu, manakala lagu tersebut boleh didengari di semua platform penstriman digital bermula 13 Mac ini.

Loading...