
Soloz, seorang bintang terkenal dalam dunia e-sukan tanah air berkongsi kisah perjalanan hidupnya diawal penglibatan di dalam dunia e-sukan yang bermula dengan cabaran, termasuk tentangan dalam keluarga.
Keputusan untuk menjadikan permainan video sebagai kerjaya tidak diterima dengan mudah oleh ibunya pada awalnya.
Namun, Soloz atau nama penuh Muhammad Faris Zakaria berjaya membuktikan kepada ibunya selepas beliau mula memenangi pertandingan dan membawa pulang trofi-trofi dan membuktikan bahawa dia mampu berdikari dengan kerjaya sebagai pemain e-sukan ini.
“Mana-mana mak pun tak nak anaknya buang masa. Mak saya selalu tanya, betul ke apa yang saya buat ni ada hasil?,”
“Saya tunjuk trofi kepada mak saya, dan barulah dia percaya,”
“Semasa belajar, saya gunakan duit hasil bermain game untuk bayar yuran kelas dan menyara hidup saya. Bila mak saya nampak usaha itu, dia mula memahami.” katanya kepada media selepas Malam Gala filem Soloz: Game of Life di GSC Starling Mall, Petaling Jaya pada Isnin.
Filem Soloz: Game of Life, filem pertama bertemakan E-sukan di Malaysia membawakan kisah benar kejayaan Soloz sebagai pemain e-sukan tanah air yang diarahkan oleh pengarah muda Syafiq Yusof.
Populariti Soloz semakin melonjak selepas video beliau membeli kereta Mustang sambil memakai selipar Jepun menjadi tular.
Menurutnya, pembelian itu bukan sekadar memenuhi keinginannya, tetapi juga satu simbol kejayaan yang boleh menginspirasi orang lain.
“Saya nak tunjuk kepada orang ramai, kalau ada usaha, apa saja boleh dicapai, termasuk dalam bidang e-sukan.”
Sebagai salah seorang perintis awal industri e-sukan di Malaysia, Soloz melihat potensi besar dalam bidang ini.
“E-sukan boleh menjadi platform besar untuk generasi muda, bukan sahaja untuk menjana pendapatan, tetapi juga untuk menggerakkan ekonomi negara. Jika digunakan dengan betul, e-sukan boleh membawa banyak manfaat,” katanya.
Namun, bagi Soloz, kejayaan ini bukan datang tanpa pengorbanan.
Selepas berkahwin, beliau terpaksa menjual kereta Mustang itu kerana tidak sesuai dengan keperluan keluarganya.
“Itu hanya simbol, tapi yang lebih penting adalah bagaimana kita gunakan peluang untuk terus maju,” jelasnya.
Dengan dedikasi dan visi yang jelas, Soloz terus menjadi ikon yang menginspirasi, membuktikan bahawa e-sukan bukan sekadar hobi, tetapi sebuah kerjaya yang boleh membawa perubahan besar kepada individu dan masyarakat.