Ikuti Kami:

Duta EQUAL Asia: Marsha Milan Terus Mengukir Nama Di Peringkat Dunia

Duta EQUAL Asia: Marsha Milan Terus Mengukir Nama Di Peringkat Dunia

Nama Marsha Milan sekali lagi mencuri perhatian, kali ini di pentas antarabangsa apabila diumumkan sebagai Duta Spotify EQUAL Asia bagi April 2025.

Pelantikan berprestij ini mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai antara figura muzik wanita paling berpengaruh dari Malaysia.

Lebih membanggakan, wajah Marsha turut terpampang di papan iklan digital ikonik di Times Square, New York pada 18 April lalu — satu pencapaian yang menjadi impian ramai anak seni.

Sebagai Duta EQUAL Asia, Marsha menghiasi playlist rasmi EQUAL Singapore & Malaysia yang kini menampilkan dua lagu popularnya, Hening Rindu dan Tangisan Seorang Pendosa.

Inisiatif EQUAL oleh Spotify adalah platform global yang mengangkat suara wanita dalam industri muzik, dengan memberi fokus kepada pencapaian dan bakat luar biasa dari seluruh dunia.

“Saya sangat bersyukur dan teruja! Ini seperti mimpi jadi nyata. Sejak kecil, saya pernah membayangkan satu hari nanti wajah saya terpampang di billboard, dan alhamdulillah, kini ia benar-benar berlaku,” kata Marsha yang berasal dari Sabah.

Menurut Marsha, kejayaan ini menjadi bukti bahawa karya muzik yang baik, jujur dan ikhlas akan sentiasa dihargai.

“Saya tak ada formula rahsia, tapi saya percaya jika kita berkarya dengan sepenuh hati, ia akan menyentuh hati orang lain. Saya harap lebih ramai komposer dan penyanyi wanita akan berani melangkah jauh,” tambahnya.

Dengan lebih dua dekad pengalaman dalam industri hiburan, Marsha turut menekankan kepentingan disiplin, keikhlasan, dan kesediaan untuk terus belajar.

“Industri ini sentiasa berubah. Kita juga perlu fleksibel, tetapi jangan sampai hilang identiti. Apa yang paling penting adalah hubungan baik dengan pasukan dan sokongan peminat yang tak pernah putus,” ujarnya.

Sebagai pelengkap kejayaan antarabangsa ini, Marsha turut dipilih oleh KBS World Korea untuk membuat persembahan dalam Festival ROUND (ASEAN-Korea Music Festival) yang akan berlangsung pada 21 dan 22 Jun 2025 di Zepp Kuala Lumpur.

Festival ini menghimpunkan artis-artis terbaik dari rantau Asia Tenggara dan Korea Selatan, di bawah sokongan ASEAN-Korea Cooperation Fund.

Kehadiran Marsha di festival berprestij ini menjadi simbol pengiktirafan terhadap bakat Malaysia dan kekuatan suara wanita dalam muzik serantau.

Strim sekarang playlist EQUAL Singapore & Malaysia di Spotify untuk menikmati alunan vokal Marsha Milan yang memukau.

Komen
Loading...