Dunia Herbs, peneraju produk kesihatan berasaskan herba, hari ini secara rasmi melantik pelakon popular, Fasha Sandha, sebagai duta jenama bagi memperkukuh kedudukan pasaran serta memacu pertumbuhan jualan syarikat bagi tahun kewangan 2026.
Pelantikan strategik itu selari dengan pelancaran inovasi terbaharu mereka, losyen Mustajab Mini Sauna yang menampilkan rangkaian wangian eksklusif, sekali gus menandakan fasa transformasi jenama tersebut dalam mendekati segmen pengguna yang lebih luas.
Pengarah Dunia Herbs, Wan Noramira Wan Rosdi, berkata pemilihan Fasha didorong oleh rekod prestasi aktres itu yang konsisten dan memiliki pengaruh besar yang mampu memberi nilai tambah kepada identiti korporat Dunia Herbs.
“Kami melihat sinergi yang kuat antara Fasha Sandha dan nilai teras syarikat kami iaitu konsistensi dan relevansi. Sebagai jenama yang sudah lama bertapak, kerjasama ini adalah langkah strategik untuk melonjakkan lagi volum jualan produk melalui input kreatif dan komitmen positif yang beliau tawarkan,” katanya pada majlis pelancaran di sini, hari ini.

Mengulas mengenai strategi pasaran, Wan Noramira menjelaskan bahawa syarikat kini mengalihkan tumpuan untuk menembusi pasaran golongan muda dan Gen Z.
Inovasi losyen dengan pilihan wangian premium seperti Quince & Tulip dan Golden Oud direka khusus untuk mengubah persepsi produk herba tradisional kepada gaya hidup moden.
“Kami menyasarkan konsep ‘setiap bilik satu losyen’. Jika dahulu kami memfokuskan kepada kegunaan isi rumah secara umum, kini setiap varian mempunyai karakter tersendiri yang sesuai untuk kegunaan peribadi mengikut keperluan kesegaran dan aktiviti harian golongan muda,” tambahnya.

Sementara itu, Fasha Sandha menyifatkan pelantikannya sebagai satu tanggungjawab besar memandangkan beliau sendiri adalah pengguna setia produk berkenaan.
“Saya tertarik untuk bekerjasama kerana Dunia Herbs terbuka untuk menerima idea baharu, termasuk formulasinya yang kini lebih mesra pengguna muda.
“Bauan yang harum bukan sahaja memberikan kesegaran, malah meningkatkan keyakinan untuk digunakan pada bila-bila masa tanpa aroma minyak yang terlalu kuat,” ujar beliau.
Dunia Herbs sebelum ini pernah bekerjasama dengan barisan selebriti ternama seperti Kuza, Nora Danish, dan Oki Setiana Dewi, dan pelantikan Fasha dijangka akan meneruskan legasi kecemerlangan jenama itu dalam industri kecantikan dan kesihatan tempatan.




