Pandemik COVID-19 bukan sahaja menjejaskan tahap kesihatan seseorang malah aspek ekonomi juga turut sama terkesan daripada penularan wabak ini. Ramai yang kehilangan sumber pendapatan dan mengalami kesukaran bagi meneruskan kehidupan mereka.
Perkara yang sama turut berlaku kepada pemuda berusia 30 tahun ini, Lai Qingyao yang kini menukar pekerjaannya sebagai penghantar makanan.
Dalam temubual bersama akhbar sinchew Lai Qingyao menegaskan tidak mahu memilih kerja walaupun dahulunya mempunyai pendapatan enam angka setiap bulan.
Mempunyai kedai komputer
Sewaktu berusia 26 tahun, dia telah membuka kedai komputer bersama dua lagi rakannya. Sewaktu perniagaannya dalam keadaan yang baik, dia boleh menjana pendapatan sebanyak enam angka pada setiap bulan. Namun segalanya mula merudum dan semakin terjejas.
Perniagaannya itu terpaksa ditutup dan dia juga telah menjual kereta miliknya untuk meneruskan hidup. Ditambah pula, dia mempunyai pinjaman bank sebanyak RM3,000 yang perlu dibayarnya pada setiap bulan. Bagi meneruskan kehidupan, dia mula mendaftarkan diri sebagai penghantar makanan pada Januari lalu.
Jana RM1,000 pada minggu pertama
Ketika baru mula-mula menjinakkan diri sebagai ‘rider’ Foodpanda, dia tidak menyangka boleh menjana pendapatan sebanyak RM1,000 pada minggu pertama. Pada fasa awal pengurusan, dia memberitahu mereka mempunyai banyak kerja.
“Dari pagi hingga malam, kita dapat mengumpulkan lebih dari 300 penghantaran makanan seminggu.”
Pada masa ini juga, dia menitikberatkan penjagaan diri dengan memakai topeng muka dan membawa tisu basah untuk disinfeksi diri.
Menurutnya, walaupun segelintir masyarakat kaya memandang rendah pekerjaan sepertinya ini, para penghantar makanan juga merupakan petugas barisan hadapan seperti doktor, polis dan lain-lain.
Pada saat seluruh restoran dan kedai makan tidak membenarkan pelanggan untuk makan di kedai, penghantar makanan bersedia untuk menghantar makanan walaupun terdedah kepada risiko jangkitan.
Dia juga kini gembira dengan pekerjaannya dan berjaya memperoleh pendapatan yang stabil.