
Kumpulan muzik Indie Rock tempatan, Dukes, kembali merancakkan industri muzik tanah air dengan pelancaran single terbaharu mereka bertajuk Lagu Tiga, sebuah karya yang sarat dengan mesej harapan dan kekuatan untuk bangkit daripada kejatuhan.
Dianggotai oleh Ziyyad (vokalis), Rayyan (gitaris), Jimbo (gitaris), Umar (bassis), dan Cheng (dram), Dukes tampil dengan karya penuh makna yang bukan sahaja menandakan kematangan muzik mereka, malah menjadi simbol kebangkitan, baik secara peribadi mahupun dalam perjalanan seni mereka.
Single ini juga merupakan penanda awal kepada album terbaharu yang dijadualkan untuk dilancarkan tahun ini. Menurut kumpulan tersebut, Lagu Tiga menggambarkan hala tuju muzik mereka yang lebih jujur dan reflektif, mencerminkan pengalaman serta emosi sebenar yang dialami.
Lagu Tiga lahir dalam suasana yang sangat santai dan tulen. Ia tercetus secara spontan ketika sesi jamming, tanpa perancangan awal. Dari melodi hingga emosi, semuanya datang dengan begitu semula jadi, jelas Dukes.
Dicipta sepenuhnya oleh ahli kumpulan itu, manakala lirik ditulis oleh Ziyyad Imran dan Hazim Osman, Lagu Tiga membawa susunan muzik yang minimalis namun berkesan.
Kejujuran dalam penulisan lirik menjadi kekuatan utama lagu ini, yang dihasilkan dalam tempoh singkat dan hampir tidak diubah daripada versi asalnya.
Menurut Dukes, cabaran terbesar adalah mencari keseimbangan antara muzik dan lirik agar kedua-duanya bersatu dalam menyampaikan emosi sebenar. Kami mahu lagu ini dirasai, bukan sekadar didengar, tambah mereka.
Lagu ini membawa mesej yang relevan kepada semua bahawa kegagalan dan rasa kehilangan arah merupakan lumrah dalam hidup, namun jalan untuk bangkit sentiasa ada. Jika waktu itu belum tiba, tidak mengapa. Yang penting, jangan hilang harapan, ujar mereka lagi.
Dengan pelancaran Lagu Tiga, Dukes bukan sekadar mempersembahkan karya baharu, tetapi menyampaikan semangat baharu, untuk diri mereka dan juga para peminat yang mungkin sedang mencari cahaya di hujung terowong.