Dua Tahun Berturut-turut Jadi ‘Wajah’ Qhiam, Noh Salleh Terus Terajui Evolusi Galur
- oleh MDaily Editor
- 24 Jan 2026 10:24 pm
Jenama fesyen tempatan yang semakin mencipta nama, Qhiam, mengekalkan penyanyi ikonik, Noh Salleh, sebagai wajah utama bagi koleksi Raya 2026 mereka untuk tahun kedua berturut-turut.
Kerjasama ini menyaksikan Noh menerajui kempen koleksi Nohstalgia Galur 2026, yang bermatlamat untuk mengangkat nilai keaslian, kehangatan keluarga, dan kenangan abadi di musim perayaan.
Pemilik jenama Qhiam, En. Adam berkata, pemilihan Noh Salleh bukan sekadar atas dasar populariti, malah personaliti beliau yang dekat dengan komuniti muzik dan gaya hidup sangat serasi dengan hala tuju jenama tersebut.

”Kita lebih fokus kepada komuniti muzik dan gaya hidup berbanding sekadar menggunakan wajah selebriti secara umum. Noh Salleh melambangkan keaslian yang kami mahu ketengahkan dalam koleksi Galur tahun ini,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran koleksi itu, baru-baru ini.
Bagi tahun 2026, koleksi Galur tampil dengan pembaharuan signifikan menerusi pengenalan set keluarga yang lebih lengkap.
”Tahun lalu kita tidak mempunyai set untuk kanak-kanak dan potongan Cekak Musang bagi koleksi Galur. Namun tahun ini, kami penuhi permintaan pelanggan dengan menyediakan rangkaian lengkap untuk lelaki dewasa, wanita, dan kanak-kanak.
”Malah, kami turut memperkenalkan potongan kebaya wanita yang dipadankan dengan baju Melayu untuk gaya sedondon yang lebih harmoni,” tambah beliau.
Dari segi kualiti, Qhiam melakukan penambahbaikan pada fabrik yang digunakan agar lebih ringan dan sesuai dengan cuaca Malaysia, namun tetap mengekalkan kualiti premium dan potongan loose yang menjadi kegemaran ramai.

Beralih kepada prestasi perniagaan, Qhiam menetapkan sasaran jualan antara RM5 hingga RM6 juta bagi musim perayaan kali ini, iaitu peningkatan sekali ganda berbanding tahun lalu.
Keyakinan ini disokong dengan pertambahan stok sehingga 40,000 pasang pakaian serta pembukaan beberapa cawangan fizikal baharu.
”Alhamdulillah, selepas cawangan pertama di Shah Alam, kami kini telah membuka butik kedua di Bangi. Dalam masa terdekat, kami juga akan melebarkan sayap ke IOI City Mall, Putrajaya bagi membawa jenama ini lebih dekat kepada pelanggan setia,” katanya lagi.
Selain koleksi Galur, Qhiam turut memperkenalkan Artisan Teras Collection yang menampilkan Dato’ Amy Search sebagai wajah rasmi, serta jenama adik, Sendja, yang memfokuskan kepada rekaan moden dan segar untuk gadis muda.




