Dua Pertuduhan Kes Alif Teega Dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam
- oleh Mohd Indera
- 2 bulan lalu
Hakim Azura Alwi memutuskan demikian selepas Timbalan Pendakwa Raya, Julaila Jamaludin, membuat permohonan itu mengikut Seksyen 61 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Pada prosiding hari ini, peguam Mohd Shahrullah Khan, yang mewakili Alif, tidak membantah permohonan itu.
“Kami mohon tarikh awal sebutan di Mahkamah Shah Alam kerana pihak pembelaan ada membuat permohonan pemulangan pasport sementara,” katanya.
Mendengar perkara itu, Azura membenarkan kes dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam, wang jaminan dilanjutkan, dan sebutan semula kes pada Rabu ini di mahkamah tersebut.
Pada 20 September, Alif, 30, didakwa menyalahgunakan RM36,047.35 untuk Infaq Iftar di Makkah, Syria, dan Palestin pada 26 April. Pertuduhan kedua melibatkan RM27,558.13 untuk JOM! SERTAI INFAQ DAGING QURBAN pada 15 Jun. Jika sabit kesalahan, dia boleh dipenjara enam bulan hingga lima tahun, serta dikenakan sebat dan denda.
Pada 23 September, Alif dan isterinya, Aisyah, 26, mengaku tidak bersalah atas 10 pertuduhan menyalahgunakan wang infak lebih RM1.52 juta dalam tiga tahun. Mereka didakwa menyalahgunakan RM1,526,372.16 untuk projek infak seperti kurma, al-Quran, pek makanan, dan ibadah korban.
Jumlah terbesar yang disalahgunakan adalah RM425,890.64 untuk bantuan mangsa banjir. Kesalahan dilakukan antara Mei 2021 hingga Julai lalu di dua bank di Bandar Baru Bangi.
Pada 11 Julai, pasangan ini direman tujuh hari untuk siasatan kes salah guna kuasa. Mereka dituduh mengambil komisen tinggi dari kutipan derma, tetapi menafikan semua dakwaan penyelewengan dan pecah amanah.