Dua Legenda Rock Malaysia Bergabung, Stadium Sarawak Gegar 13 Disember
- oleh Mohd Indera
- 4 Sep 2025 12:01 pm

Stadium Sarawak bakal bergegar pada 13 Disember 2025 apabila dua nama besar rock tanah air, Search dan XPDC, digabungkan dalam sebuah persembahan epik bertajuk Konsert Fenomena Samurai.
Mengangkat simbolik dua jenama besar dalam sejarah muzik tempatan. “Fenomena” sinonim dengan Search dan “Samurai” milik XPDC. Konsert ini dianggap sebagai titik penyatuan legenda yang telah merentas generasi sejak era 80-an.
Search yang kini diterajui Din dan Kid akan berkongsi pentas dengan XPDC bersama barisan Izo, Lola, Eddie, Arif dan Mamu.
Penyatuan ini bukan sahaja menyajikan rangkaian lagu ikonik, malah menghadirkan satu malam yang dijangka penuh emosi, kenangan dan semangat rock.
Menurut penganjur bersama, Seri Simfoni Sdn Bhd dan Bintang Batu Event, konsert ini dirancang dengan teliti bagi memastikan kualiti muzik, bunyi dan persembahan mencapai tahap terbaik.
“Search dan XPDC bukan sekadar kumpulan muzik. Mereka adalah gergasi yang membentuk identiti rock Malaysia. Konsert ini wajib memberi pengalaman luar biasa buat peminat,” kata Ikhram atau Atom, wakil penganjur.
Bagi Din, vokalis Search, Konsert Fenomena Samurai adalah lebih daripada sekadar sebuah persembahan.
“Ini bukan konsert biasa. Ia adalah penghargaan buat peminat yang sentiasa bersama kami, merasai perjuangan, sepak terajang dan kecintaan terhadap muzik rock,” ujarnya.
Tiket mula dijual pada 5 September 2025, jam 10 pagi menerusi http://fenomenasamurai.ubertickets.asia.
Harga Early Bird ditawarkan bermula serendah RM90 hingga RM250, manakala harga biasa pula bermula daripada RM129 sehingga RM359 mengikut kategori.
Penganjuran ini turut mendapat sokongan Rampage Studioworks sebagai rakan strategik dan Yellowhello selaku rakan penaja.
Bagi peminat setia Search dan XPDC, inilah pentas yang bakal mencipta malam bersejarah rock Malaysia di Bumi Kenyalang.